April 2007, Ms. 84-85.
Pada aras umur yang berbeza, interaksi antara kanak-kanak dengan media interaktif juga adalah berbeza. Ia mencerminkan perkembangan minat, perwatakan dan persekitaran mereka. Artikel kali ini mengupas bagaimana kanak-kanak berinteraksi dengan produk elektronik seperti permainan dan komputer.
Empat peringkat perkembangan yang dihuraikan dibawah adalah berdasarkan ciri-ciri kognitif, sosial, emosi, moral dan pertuturan kanak-kanak.
Peringkat kelahiran – 2 tahun
Pada peringkat ini konsep utama perkembangan minda kanak-kanak adalah berkisar pada pembelajaran, penemuan dan penjelajahan. Bayi sebagai contoh, gemar mengulang-ulang tindakan-tindakan tertentu seperti melambai-lambaikan tangan.
Oleh itu produk seperti permainan interaktif harus berkisar pada penampilan konsep mudah. Ia seharusnya memberikan rasa selamat dan mencetuskan pembelajaran dalam kalangan mereka. Bentuk fizikal permainan juga harus agak bulat dan tidak bersegi-segi serta menyokong penjelajahan aktif.
Selain itu, bayi boleh mula mengeluarkan perkataan dalam lingkungan umur satu tahun. Mereka mula menyebut satu-satu corak perkataan dengan tetap, walaupun tidak difahami oleh ibu bapa. Saiz kosa kata mereka adalah sekitar 50 hingga mencecah ratusan perkataan semasa kanak-kanak tersebut mencapai umur 2 tahun.
Pada peringkat ini permainan interaktif dengan butang yang boleh mengeluarkan sebutan objek sekeliling seperti “A untuk ais krim” dan “B untuk bola”, sesuai diperkenalkan.
Contoh permainan lain adalah seperti ‘pusat aktiviti’ elektronik. Ia merangkumi beberapa gambar dan butang. Bayi boleh menekan, memusing atau memulas butang-butang tertentu. Sekaligus kemahiran motor halusnya mula dirangsang. Ia juga penting untuk menjana koordinasi tangan dan mata bayi.
Produk permainan seperti ini biasanya mempunyai gambar, ikon atau maskot binatang dengan warna-warna cerah dan menarik. Dengan ini bayi akan dibiasakan dengan bunyi dan perkataan yang berkaitan dengan persekitaran mereka seperti binatang peliharaan, perkataan, huruf, nombor dan warna-warna.Aktiviti interaktif ini mencetus kepada latihan kognitif berbentuk aksi-reaksi. Ia memahamkan bayi terhadap konsep kesan dan akibat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment