The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.

Friday, December 5, 2008

Ajari anak anda etika internet

Sept 2006, ms 84-85.

Ibu bapa moden hari ini pasti tidak mahu ketinggalan merebut peluang yang ditawarkan internet sebagai alat mendidik anak mereka. Beribu-ribu laman web menyediakan bahan pembelajaran yang menarik dan interaktif untuk dilayari. Kesan penggunaan positif internet dalam kalangan kanak-kanak dibuktikan sebagai dapat membantu membuka minda mereka ke dunia pengetahuan tanpa sempadan.

Sumber pembelajaran dan keselamatan

Ruang siber menyediakan pentas pembelajaran interaktif untuk anak-anak. Sebagai contoh dengan beberapa klik tetikus sahaja anak anda dipaparkan dengan laman ensiklopedia kanak-kanak. Laman web bercirikan edutainment dengan konsep belajar sambil bermain sudah pasti membuatkan mata anak anda tidak berkelip. Elemen animasi, bunyi dan lagu serta permainan interaktif mampu memukau anak anda.

Persoalannya adakah kesemua laman web selamat untuk kanak-kanak? Sebagaimana dunia sebenar, dunia maya juga terdedah kepada unsur negatif. Ada antara laman web tidak sesuai kandungannya untuk dilayari oleh kanak-kanak.

Peranan ibu bapa

Perisian penapis kandungan internet perlu dipasang jika komputer di rumah anda turut digunakan oleh anak-anak melayari internet. Walaupun fungsi perisian penapis laman lucah tidak 100 peratus sempurna, setidak-tidaknya langkah berjaga-jaga sudah diambil. Pokok pangkalnya pengawasan ibu bapa sangat penting dalam membentuk pengalaman penggunaan internet yang selamat dan positif dalam kalangan kanak-kanak. Lebih elok letakkan PC di ruang tamu dari di dalam bilik tidur anak remaja anda.

Ibu bapa sememangnya harus berjaga-jaga terhadap bahaya capaian kandungan negatif oleh anak-anak. Dari segi kandungan positif pula, ibu bapa berperanan membantu anak mereka mencari laman web yang sesuai. Gunakan enjin carian seperti Yahoo atau Google untuk mencari alamat tapak web dengan kandungan kanak-kanak yang sesuai. Selepas itu, berikan anak anda alamatnya.

Paling penting, tetapkan peraturan di rumah anda tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Tetapkan juga had masa melayari internet dalam sehari. Sebenarnya skil keibubapaan yang dipraktikkan dalam dunia sebenar juga sesuai untuk alam siber.

Untuk artikel penuh e-mel syahruln77@gmail.com

No comments:

Blog Widget by LinkWithin