Koleksi artikel di blog ini hanyalah sebahagian sahaja. Dapatkan buku ini untuk membaca keseluruhan artikel yang pernah saya tulis dari 2006 hingga sekarang!
ketagihan melayari Internet di kalangan pelajar harus dipantau.
MINGGU peperiksaan sudah berakhir. Buku-buku teks pinjaman juga telah dipulangkan. Inilah waktunya pelajar-pelajar 'berbulan madu' menunggu saat-saat akhir cuti persekolahan penggal yang akan tiba dua minggu lagi.
Jika di rumah, selain menonton televisyen, aktiviti yang paling popular ialah permainan komputer dan melayari Internet.
Kini dengan pelbagai laman web yang boleh dilayari secara percuma serta menghiburkan, telah melekakan dan menjadi ketagihan golongan remaja.
Penggunaan Internet yang keterlaluan telah menjadi satu masalah yang perlu dipandang serius oleh semua pihak terutama ibu bapa bukan sahaja di negara ini malah menjadi masalah sejagat.
Kanak-kanak dilihat sebagai paling terdedah apabila melayari web dan mudah menjadi mangsa gangguan dan pengintipan. Terdapat pelbagai sumber yang boleh didapati di dalam talian yang memberi tumpuan terhadap isu ini dan perkara lebih penting ialah pendekatan proaktif yang diambil oleh semua pihak untuk mendidik kanak-kanak.
Pakar Psikiatri Universiti Sains dan Kesihatan Oregon, di Portland, Amerika Syarikat, Dr. Jerald Block, dalam tulisan editorialnya untuk American Journal of Psychiatry berkata, masalah penggunaan Internet kini sudah menjadi serius di seluruh dunia dan tidak mustahil suatu hari nanti ia akan dianggap sebagai salah satu penyakit mental.
Menurut Dr. Jerald, beberapa kajian yang telah dibuat di beberapa negara mendapati masalah ketagihan Internet di negara berkenaan sudah mencapai tahap yang sebegitu serius sehingga kerajaan terpaksa mengambil langkah untuk mengatasi dan membendung masalah tersebut.
Di Korea Selatan pula, bagi menangani masalah ketagihan Internet ini, kerajaannya telah melatih 1,043 kaunselor bagi merawat ketagihan Internet dan menyenaraikan kira-kira 190 hospital dan pusat rawatan untuk tujuan ini.
Malah sebahagian ibu bapa di China yang berhadapan dengan anak-anak yang ketagihan Internet sanggup menghabiskan kira-kira RM4,680 sebulan untuk merawat anak mereka di klinik yang dikhaskan oleh kerajaan untuk merawat ketagihan Internet .
Mengapa jadi begitu? Ini kerana sistem komputer mampu dimiliki dan talian Internet mudah disediakan oleh sesiapa di rumah. Keputusan ibu bapa untuk membeli komputer dan menghubungkannya ke Internet biasanya untuk kebaikan anak mereka. Internet memberi pelbagai manfaat yang meluaskan pengetahuan dan sebagai alat komunikasi.
Kebelakangan ini, terdapat banyak kes dilaporkan di seluruh dunia berkaitan pengintipan dan gangguan siber terhadap kanak-kanak. Ini boleh dielakkan jika kanak-kanak sedar tentang selok belok kegiatan sedemikian dan cara pencegahan, termasuk perbualan selamat, pertemuan dengan orang asing dan sebagainya.
Ibu bapa perlu memainkan peranan mengajar anak mereka tentang keselamatan, bahaya dan bersikap bertanggungjawab dalam dunia siber.
Oleh Syahrul Nizam Junaini Fakulti Sains Komputer dan Teknologi MaklumatUniversiti Malaysia Sarawak
Perkembangan teknologi Internet cukup pantas. Jika dahulunya kita dihidangkan dengan laman web statik yang membosankan, kini muncul laman interaktif dan menarik seperti MSN MySpace dan Twitter. Selain itu laman seperti Facebook semakin popular terutama dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.
Mungkin sebelum ini, anda antara kita yang dimanipulasi oleh anak-anak bagi membelikan mereka CD atau DVD permainan komputer atau Playstation. Permainan yang kita belikan mungkin yang tidak sesuai dengan umur mereka dari segi kandungannya. Sebagai ibu bapa kadang-kadang kita terlepas pandang perkara ini. Masalah permainan komputer bertambah parah apabila wujud permainan percuma di Internet. Ia tidak perlu dibeli sebagaimana CD atau DVD.
Serentak dengan kepesatan perkembangan teknologi, wujud juga permainan dalam talian yang mungkin berisiko tetutama bagi kanak-kanak. Kajian oleh The ChildWise Monitor Report pada tahun 2008 menunjukkan bahawa permainan video adalah antara aktiviti dalam talian paling digemari kanak-kanak. Buktinya 47 peratus daripada responden kajian dari kalangan kanak-kanak lelaki berusia 7-10 menggunakan Internet untuk bermain permainan video.
Malah bagi kanak-kanak kecil, Internet adalah permainain, dan permainan adalah Internet. Permainan percuma ini sekali imbas seolah-olah direka untuk anak-anak. Ia menggunakan watak beranimasi yang menarik dengan lukisan dan warna yang ceria.
Namun disebalik itu, terdapat satu permainan berasaskan Flash yang misinya adalah untuk menangkap foto watak perempuan seksi. Watak ini agak bergerak-gerak pada senario tertentu dalam aksi yang boleh mendatangkan rasa ghairah.
Apa yang pemain perlu lakukan ialah menangkap gambar yang paling seksi. Lebih seksi gambar yang ditangkap, maka lebih tinggi markah yang diperolehi. Perkara yang mengejutkan ialah berdasarkan maklumat sumber, ia telah dimainkan lebih dari 6.5 juta kali sejak dilancarkan pada bulan Mac 2008. Rajah di bawah menunjukkan paparan permainan tersebut.
Pada permainan dalam talian seperti ini, kanak-kanak sudah tentu suka melihat watak beranimasi yang dilukis dengan cukup kemas. Mereka pasti berminat mencuba permainan ini terutama selepas melihat montaj pembukaannya.Namun bolehkan mereka membezakan baik buruk permainan ini? Selain itu, tiada sekatan yang meminta pengguna memasukkan data berkaitan umur sebelum boleh bermain permainan ini.Selain unsur lucah, kanak-kanak juga terdedah risiko penggunaan bahasa kasar atau kesat, komentar bersifat rasis, atau gangguan lain jika ada fungsi chat pada permainan tersebut. Mereka boleh bersembang dengan hampir sesiapa sahaja dari seluruh dunia sambil menunggu giliran, seperti pada permainan Yahoo Pool. Selain itu, walaupun pada permainan tertentu yang diklasifikasikan sebagai bersih, terselit juga kandungan yang bersifat komersial.Kesannya jutaan kanak-kanak di seluruh dunia menghadapi risiko pengaruh negatif permainan dalam talian jika tiada usaha tegas dilaksanakan. Sebab itu beberapa negara melarang sepenuhnya kandungan dalam talian khas untuk orang dewasa bagi diakses oleh semua peringkat umur. Sementara itu di Amerika Syarikat, ada antara perpustakaan sekolah menerima dana persekutuan bagi usaha menyekat akses kepada kandungan yang tidak sesuai.Di United Kingdom pula, satu badan yang dipanggil Majlis Keselamatan Internet bagi Kanak-kanak (UKCCIS) telah ditubuhkan. Ia bermatlamat mewujudkan kerjasama segenap organisasi daripada industri dan NGO untuk bekerjasama dengan kerajaan. Ini bagi memastikan Internet adalah tempat yang selamat bagi kanak-kanak.Salah satu usaha UKCCIS adalah mewujuskan sistem klasifikasi permainan komputer. Klasifikasi ini bagi membolehkan ibu bapa atau penjaga menyemak kesesuaian satu-satu permainan bagi kumpulan usia anak mereka.Dari segi teknikal, anda boleh setkan polisi tatacara keselamatan bagi jenis laman yang boleh atau tidak boleh dilayari oleh anak anda. Tetapi melalui enjin carian seperti Google dan Yahoo, bagi anak anda yang sudah boleh membaca, mereka mungkin akan menaip kata kunci carian seperti “games” dan sebagainya. Mereka juga masih tetap berisiko. Paparan iklan permainan yang ditunjukkan mungkin membawa mereka ke laman permainan yang direka khas bagi orang dewasa.Selain itu, selepas anak anda menggunakan enjin carian ini, anda boleh menyemak semula laman-laman yang telah mereka layari dengan melihat history pada pelayar web anda. Anda juga boleh melihat kata kunci yang “terlekat” pada kotak carian.Sebagai penutup, adakah anda terfikir untuk memasang Internet bagi kegunaan anak anda di rumah? Fikirkan dua kali. Dengan Internet, anda telah membuka pintu rumah anda ke dunia luar. Adakah anda cukup berani membiarkan anak yang berusia tujuh tahun berjalan ke kedai sebelum mengajar mereka bagaimana melintas jalan?
Teknologi dan aplikasi Internet kini muncul sebagai media yang sangat berkesan terutama bagi tujuan pembelajaran. Buktinya muncul beribu-ribu, malah mungkin mencecah jutaan laman web berkaitan pembelajaran. Namun satu perkara penting yang harus diketahui oleh para ibu bapa ialah konsep pembelajaran bagi kanak-kanak harus diselit dengan unsur keseronokan.
Menurut kajian pakar, pendekatan bermain sambil belajar (edutainment) dapat meningkatkan keupayaan kognitif kanak-kanak. Ia juga mampu membakar semangat ingin tahu dalam diri mereka melalui aktiviti penerokaan dan penemuan. Selain itu ia juga boleh memperkemas kemahiran motor kasar dan halus jari-jemari mereka hasil interaksi dengan tetikus. Selain itu, pendekatan edutainment juga mampu mencetus pemikiran kritis dan kreatif dalam kalangan kanak-kanak.
Arikel kali ini mengupas tiga lagi laman web yang pasti menarik perhatian anak anda. Paling penting dalam keseronokan mereka bermain, tanpa disedari mereka sebenarnya sedang belajar.
Laman ZiggityZoom mengambil seekor arnab bernama BunBun sebagai maskotnya. Laman ini mudah dilayari melalui susunan menunya yang jelas. Lima menu utamanya terdiri daripada permainan, mewarna, bercerita, dunia hiburan dan aktiviti. Selain permainan, ia juga menyediakan permainan yang boleh dicetak.
Selain itu, buku cerita interaktif yang disediakan di laman ini disediakan dengan fungsi penyelak halaman. Dengan itu anak anda akan merasakan bahawa mereka benar-benar sedang membaca buku sebenar. Walaupun lakaran kartunnya agak mudah dan kurang kompleks, namun jalan ceritanya telah digarap dengan kemas.
Selain itu, halaman buku ceritanya tidak sesak dengan teks. Pilihan fon juga menarik dan mudah dibaca. Antara tajuk cerita yang pasti menarik perhatian anak anda adalah seperti Easter Egg Book, Beakley Swims, Beakley Takes a Trip, My Little Pirate, Princess Little, dan Goodie Twoshoes-Being a Kind Person.
Di samping itu, fungsi kawalan audio juga disedikan. Ini bermakna anak anda boleh memilih sama ada untuk membaca buku sambil mendengar teksnya dibacakan atau sebaliknya. Laman ini juga padat dengan aktiviti- aktiviti dalam talian yang pasti menggembirakan anak anda. Sebab itu memang tepat laman ini menggunakan motto “A fun place to zoom around.”
Laman Sprout Online asalnya merupakan siaran TV kanak-kanak 24 jam yang pertama kali muncul, hasil inisiatif Public Broadcasting Service (PBS) Kids. Kini ia muncul di Internet khas untuk kanak-kanak berumur 2-5 tahun. Selain permainan, laman ini turut menyediakan pilihan aktiviti dalam talian yang sangat banyak untuk anak anda.
Sebagai contoh, ruangan permainan pada laman ini menyediakan permainan interaktif yang sangat pelbagai. Ia dikategorikan kepada kreativiti, kemahiran motor halus, pembacaan dan penceritaan, kemahiran daya ingatan, penyelesaian masalah dan teka-teki serta sisih dan padankan. Saya meminati permainan ejaan yang membenarkan anak saya mengklik pada huruf-huruf yang membentuk perkataan tertentu. Permainan ini bernama Spelling with Caillou.
Di samping itu, pilihan permainan juga disusun berdasarkan watak kartun. Antara watak di TV yang terkenal adalah seperti Thomas & Friends, Fifi and the Flowertots, Bob the Builder, Kipper, Make Way for Noddy, Play With Me Sesame,Barney & Friends, serta Roary the Racing Car. Selain itu, pada setiap minggu satu permainan akan dipilih sebagai permaian terbaik.
Laman ini menawarkan permainan berunsurkan pembelajaran yang menarik dan berkualiti. Buktinya ialah sejak ia wujud lebih 50 anugerah telah dimenanginya. Ini termasuk anugerah Digital Dozen yang diterima daripada Eisenhower National Clearinghouse for Mathematics and Science Education.
Pada laman ini, anak anda boleh mempelajari subjek matematik selain membaca dan mempertingkatkan kemahiran tatabahasa. Antara permainan popular ialah seperti Math Baseball, Number Cracker, Spell Check, Connect the Dots, Guess the color dan banyak lagi. Selain itu, antara permaian klasik Fun Brain adalah seperti Math Baseball, The Plural Girls, Proton Don, Grammar Gorillas dan Math Car Racing.
Selain hanya bermain, fugsi interaktiviti juga disediakan dimana anak anda turut boleh bersembang (chat). Tidak ketinggalan, maklumat yang disediakan di sini amat berguna untuk para guru bagi dijadikan alat bantu mengajar. Bagi mengekalkan kualiti kandungan pembelajaran, bagi setiap permainan, temanya sentiasa tertumpu pada konsep nombor dan perkataan sebagai fokus utama.
Di samping itu, laman ini memuatkan lebih kurang 40 permainan yang pasti mengasyikkan anak anda. Watak kartun juga digunakan untuk mendampingi anak anda sepanjang mereka belajar. Permainan yang dihasilkan dengan perisian Flash juga pantas dimuat turun tanpa memerlukan anda memasang (install) perisian yang lain.
Paling penting, FunBrain.com menyediakan anda dan anak anda bahan pembelajaran yang menyeronokkan secara percuma. Bukan itu sahaja, anda juga tidak “dipaksa” untuk mendaftar terlebih dahulu sebelum boleh menggunakan laman ini.
Pada zaman yang serba canggih ini, kanak-kanak turut tidak ketinggalan menikmati arus perubahan teknologi maklumat. Saya berminat meminjam satu frasa dari salah sebuah syarikat penyiaran yang berbunyi, “macam-macam ada.”
Di Internet, dianggarkan wujud puluhan bilion laman sesawang. Maka sudah tentu maklumat yang banyak ini boleh membantu anak-anak anda dalam proses pembelajaran. Ia juga dapat meluaskan ruang lingkup minda anak anda.
Walaupun Internet menawarkan maklumat yang banyak, proses carian perlu dilakukan. Untuk memudahkan proses pencarian, kita disediakan dengan enjin carian popular seperti Yahoo! atau Google. Namun ada kalangan ibu bapa yang terpaksa menghabiskan masa berjam-jam mencari maklumat yang sesuai untuk anak mereka.
Masalah berpunca apabila enjin carian seperti Yahoo! atau Google tidak direka bentuk khas bagi kegunaan kanak-kanak. Sebagai contoh, walaupun enjin carian ini tidak mengandungi bahan berunsur lucah, namun ada kalanyha kanak-kanak terdedah dengan paparan iklan yang memaparkan gambar-gambar yang tidak sesuai dilihat oleh mereka.
Selain itu, penggunaan enjin carian memerlukan anda memasukkan kata kunci carian yang tepat. Katakan anda ingin mencari tentang humor atau lawak untuk kanak-kanak. Jika anda cuma menaipkan kata kunci “humor”, pasti humor untuk orang dewasa juga dimasukkan dalam senarai hit carian.
Saya sendiri mempunyai dua orang anak yang masing-masing berumur enam dan lima tahun. Mereka sering meminta saya mencari gambar bagi watak kartun kegemaran mereka. Maka saya gunakan Google Images. Namun sering kali saya temui gambar-gambar watak kartun yang muncul hasil carian adalah dalam bentuk yang tidak sesuai dilihat oleh kanak-kanak.
Maka artikel kali ini membincangkan lima enjin carian khas untuk kanak-kanak.
Yahoo! Kids
http://kids.yahoo.com
Yahoo! Kids dahulunya dikenali sebagai Yahooligans (www.yahooligans.com). Ia dilaporkan sebagai direktori carian yang pertama wujud sejak bulan Mac 1996. Direka bentuk khusus untuk kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun, kandungannya dipilih dengan teliti supaya menepati keperluan carian kanak-kanak. Kini Yahoo Kids juga mempunyai enjin carian dalam dua bahasa asing iaitu Jepun dan Korea.
Di Yahoo! Kids, senarai direktori utamanya dimasukkan dalam 10 kategori. Antaranya ialah permainan, muzik, filem, lawak, sukan dan ibu bapa. Ruangan utama enjin carian ini ialah zon belajar (study zone). Di sini disediakan maklumat berkaitan negara-negara di dunia (World Factbook). Maklumat negara yang disediakan termasuk peta, bendera, statistik, kerajaan dan matawang.
Saya sendiri meminati ruangan lawak (jokes). Semasa artikel ini ditulis, terdapat lebih 2000 lawak disediakan. Apa yang menarik minat saya ialah lawaknya termasuk dalam kategori lawak pandai (bukan lawak bodoh) kerana 85 daripadanya termasuk dalam kategori lawak berkaitan sains.
KidsClick!
www.kidsclick.org
Anda tidak perlu risau membiarkan anak anda ‘bermain’ dengan enjin carian ini. Hal ini kerana pengurus laman KidsClick memastikan tiada laman sesawang yang tersenarai di sini yang bersifat ganas, melibatkan kebencian atau berkaitan aktiviti haram.
KidsClick menyenaraikan lebih kurang 5,000 laman sesawang yang disimpan dalam pelbagai kategori. Sebagai tambahan Laman Common Sense Media (commonsensemedia.org) yang membuat penilaian terhadap laman ini menyatakan bahawa ia sesuai untuk kanak-kanak berumur 8 tahun dan ke atas.
Ask Kids www.askkids.com
Ask Kids adalah laman carian ekslusif untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun. Ia memberikan peluang kepada para ibu bapa membantu mencari bahan pembelajaran yang sesuai dengan peringkat umur anak mereka berbanding penggunaan enjin carian untuk orang dewasa yang lain.
Berdasarkan kajian, strategi pembelajaran dengan kaedah visual terbukti meningkatkan pemahaman dan pengekalan maklumat dalam kalangan kanak-kanak. Maka hasil carian di sini dipaparkan dalam bentuk panel grafik yang menarik bagi meransang daya berfikir secara visual kanak-kanak.
Fact Monster www.factmonster.com
Laman yang dipunyai oleh Pearson Education ini mempunyai maklumat yang sangat banyak. Ia bukan sekadar enjin carian untuk kanak-kanak tetapi juga bertindak seolah-olah sebuah ensiklopedia di alam maya. Kategori utama maklumatnya termasuk berkaitan dunia, sukan, sains, matematik dan wang serta banyak lagi.
Turut disediakan di laman ini ialah meja rujukan (reference desk). Ia membantu anak anda menyiapkan kerja rumah dengan pantas dan berkesan melalui Homework Center.
Kidsites.org
www.kidsites.org
Sebagai satu direktori bagi carian maklumat kanak-kanak, pautan-pautan ke laman lain dipilih dengan teliti. Ini bagi memastikan bahan yang disediakan pada laman sesawang yang dipautkan sesuai untuk kanak-kanak, ibu bapa dan guru. Menu utama untuk kanak-kanak dikategorikan untuk kanak-kanak kecil, prasekolah dan sekolah rendah. Juga disediakan direktori khas untuk guru dan ibu bapa.
Laman ini dikelolakan oleh syarikat UptoTen dari negara Mauritius. Editor kandungannya telah melayari dan menguji lebih 5,000 laman kanak-kanak. Hanya 1,000 sahaja yang paling menarik disenaraikan di sini.
Syahrul Nizam Junaini, kepakaran beliau dalam seni komunikasi berpengaruh di Malaysia tidak dapat disangkal lagi, terutama selepas kelahiran karya sulungnya Persembahan Hebat dengan PowerPoint yang laris di pasaran. Kali ini, beliau menghimpunkan semula ilmu komunikasi efektif, dikutip dari pengalaman sepanjang menuntut dalam ijazah Sarjana Komunikasi Media dari University of Bradford, United Kingdom. Tambahan pula sebagai posisi beliau sebagai pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Ikuti buah fikiran beliau selanjutnya di www.SyahrulNizam.com.