The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.

Monday, February 1, 2010

Teknik Mengawal Capaian Internet

Link di laman web Majalah Pama di sini:

Januari 2010

Kemunculan pelbagai laman sesawang pada masa kini seumpama cendawan selepas hujan. Selain kandungannya yang pelbagai dan interaktif, unsur hiburan pada kebanyakan laman pasti mampu melekakan anak anda. Sudah tentu anak anda yang mendapat pendedahan awal terhadap Internet mudah tertarik dengan kandungannya yang memukau.

Selain itu, daripada apa yang saya perhatikan, golongan kanak-kanak dapat mengendalikan Internet dengan lebih pantas dan cekap berbanding ibu bapa mereka. Mereka dengan selamba bermain permainan tertentu dan memenanginya dengan mudah walaupun kali pertama bermain.

Di dunia siber, wujud juga perkara negatif selain perkara yang positif. Alam siber berisiko menjerat dan menjadikan anak anda ketagihan Internet. Ia sudah tentu menjadi ancaman serius terutama dalam kalangan kanak-kanak yang belum matang sepenuhnya.

Perkara ini ditegaskan oleh Dr. Jerald Block dari Oregon Health & Science University, Portland, Amerika Syarikat melalui American Journal of Psychiatry. Justeru isu keselamatan semasa melayari Internet mustahak ditangani. Beberapa tindakan pengawalan boleh dilakukan bagi memastikan Internet selamat untuk dijadikan “taman permainan” bagi anak-anak anda.

Untuk itu, sebelum masalah melanda, adakan perbincangan secara terbuka dengan anak anda tentang jenis-jenis risiko yang bakal mereka hadapi di Internet. Jelaskan kepada mereka bahaya-bahaya yang boleh mereka temui secara online. Beri alasan mengapa anda terpaksa mengehadkan capaian ke laman sesawang tertentu. Berikan sekali contoh lamannya.

Selain itu, panduan pertama dan terbaik untuk menjaga anak-anak anda daripada melayari laman web yang anda tidak ingini ialah dengan memberikan satu bentuk “jerat”. Jerat yang terbaik adalah berbentuk psikologi melalui analog atau perumpamaan. Buat kiasan bahawa mereka boleh tertangkap jika mereka tidak mengikuti peraturan sebagaimana polis menangkap pencuri.

Panduan kedua pula lebih merupakan “jerat” dalam bentuk fizikal. Untuk itu jangan letakkan komputer dalam bilik anak anda. Jika anda membiarkan anak-anak anda bertapa di biliknya berjam-jam, melayari Internet atau bermain permainan online, mereka akan lebih cenderung terus berada dalam dunia maya ciptaan anda untuk satu tempoh yang lama.

Risiko ini menurut ramai pakar psikologi kanak-kanak adalah berbahaya. Menurut teori, kanak-kanak harus kerap berinteraksi dengan kanak-kanak lain atau orang dewasa. Mereka harus bersosial dan bukan terperap di bilik mereka masing-masing. Anak-anak yang mempunyai komputer di bilik mereka sendiri cenderung menghabiskan lebih banyak masa sendirian. Sudah tentu kanak-kanak yang menggunakan komputer di lokasi terbuka seperti di ruang tamu tidak akan duduk berjam-jam di situ.

Di samping itu, anda juga boleh setkan kategori laman yang anda tidak benarkan mereka layari. Sebagai contoh, laman tersebut tidak boleh mempunyai kandungan yang menunjukkan contoh buruk kepada kanak-kanak. Ia juga tidak boleh mengajar atau menggalakkan anak anda melakukan tindakan berbahaya atau meniru perilaku berbahaya, dalam apa jua konteks sekalipun.

Selain itu, perisian pelayar seperti Internet Explorer membolehkan anda menyekat laman-laman web yang mempunyai kandungan yang anda tidak ingin anak-anak anda melihatnya. Ia adalah berdasarkan rating yang dikeluarkan oleh Internet Content Rating Association (ICRA). ICRA adalah organisasi antarabangsa yang komited menjadikan Internet lebih selamat bagi kanak-kanak.

Berikut adalah langkah-langkah yang boleh anda lakukan untuk menyekat capaian ke laman-laman yang tidak sesuai bagi kanak-kanak:

1. Pilih Tools > Internet Options.

Kotak Internet Options akan muncul.

2. Klik pada tab Content, pada bahagian Content Advisor, klik Enable (Rajah 2).

























Rajah 1: Internet Options.


3. Kotak Content Advisor akan muncul (Rajah 2). Klik tab Approved Sites.


























Rajah 2: Content Advisor.


Di sini anda boleh masukkan alamat (URL) bagi laman yang anda benarkan (klik Always) atau tidak benarkan (klik Never) anak anda melayarinya.

4. Pada kotak yang sama, klik tab Rating (Rajah 3).

Klik pada setiap kategori dan gerakkan slider ke kiri atau kanan untuk menetapkan kadar kandungan.


























Rajah 3: Content Advisor.


Di samping itu, anda juga boleh memuat turun perisian khas untuk menapis laman sesawang bagi tujuan keselamatan anak anda. Perisian ini juga boleh memantau aktiviti Internet anak anda. Berikut adalah senarai perisian yang boleh anda pasangkan di komputer anak anda:

• Net Nanny: www.netnanny.com
• Cyber Sentinel: www.securitysoft.com
• Cyber Patrol: www.cyberpatrol.com

Kesimpulannya, tips-tips di atas cumalah sebagai garis panduan umum. Bincangkan masalah-masalah yang dihadapi secara terbuka dengan anak anda. Kemudian perketatkan peraturan di atas terutama bagi komputer di rumah anda. Hal ini kerana anak anda masih boleh ‘terlepas’ daripada peraturan ketat ini jika mereka melayari Internet dari rumah rakan mereka atau dari komputer di kafe siber.

Kesimpulannya, tidak ada pengganti bagi “pagar Internet” melainkan pemantauan daripada anda sendiri sebagai ibu bapa. Sebagai tambahan, Dr. Jerald Block mencadangkan agar penyelesaian paling segera bagi mengelakkan mereka daripada ketagihan Internet ialah dengan memutuskan sahaja talian Internet di rumah anda!
Blog Widget by LinkWithin