The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.

Tuesday, September 1, 2009

Enjin Carian untuk kanak-kanak

September 2009

Pada zaman yang serba canggih ini, kanak-kanak turut tidak ketinggalan menikmati arus perubahan teknologi maklumat. Saya berminat meminjam satu frasa dari salah sebuah syarikat penyiaran yang berbunyi, “macam-macam ada.”

Di Internet, dianggarkan wujud puluhan bilion laman sesawang. Maka sudah tentu maklumat yang banyak ini boleh membantu anak-anak anda dalam proses pembelajaran. Ia juga dapat meluaskan ruang lingkup minda anak anda.

Walaupun Internet menawarkan maklumat yang banyak, proses carian perlu dilakukan. Untuk memudahkan proses pencarian, kita disediakan dengan enjin carian popular seperti Yahoo! atau Google. Namun ada kalangan ibu bapa yang terpaksa menghabiskan masa berjam-jam mencari maklumat yang sesuai untuk anak mereka.

Masalah berpunca apabila enjin carian seperti Yahoo! atau Google tidak direka bentuk khas bagi kegunaan kanak-kanak. Sebagai contoh, walaupun enjin carian ini tidak mengandungi bahan berunsur lucah, namun ada kalanyha kanak-kanak terdedah dengan paparan iklan yang memaparkan gambar-gambar yang tidak sesuai dilihat oleh mereka.

Selain itu, penggunaan enjin carian memerlukan anda memasukkan kata kunci carian yang tepat. Katakan anda ingin mencari tentang humor atau lawak untuk kanak-kanak. Jika anda cuma menaipkan kata kunci “humor”, pasti humor untuk orang dewasa juga dimasukkan dalam senarai hit carian.

Saya sendiri mempunyai dua orang anak yang masing-masing berumur enam dan lima tahun. Mereka sering meminta saya mencari gambar bagi watak kartun kegemaran mereka. Maka saya gunakan Google Images. Namun sering kali saya temui gambar-gambar watak kartun yang muncul hasil carian adalah dalam bentuk yang tidak sesuai dilihat oleh kanak-kanak.

Maka artikel kali ini membincangkan lima enjin carian khas untuk kanak-kanak.

Yahoo! Kids

http://kids.yahoo.com



















Yahoo! Kids dahulunya dikenali sebagai Yahooligans (www.yahooligans.com). Ia dilaporkan sebagai direktori carian yang pertama wujud sejak bulan Mac 1996. Direka bentuk khusus untuk kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun, kandungannya dipilih dengan teliti supaya menepati keperluan carian kanak-kanak. Kini Yahoo Kids juga mempunyai enjin carian dalam dua bahasa asing iaitu Jepun dan Korea.

Di Yahoo! Kids, senarai direktori utamanya dimasukkan dalam 10 kategori. Antaranya ialah permainan, muzik, filem, lawak, sukan dan ibu bapa. Ruangan utama enjin carian ini ialah zon belajar (study zone). Di sini disediakan maklumat berkaitan negara-negara di dunia (World Factbook). Maklumat negara yang disediakan termasuk peta, bendera, statistik, kerajaan dan matawang.

Saya sendiri meminati ruangan lawak (jokes). Semasa artikel ini ditulis, terdapat lebih 2000 lawak disediakan. Apa yang menarik minat saya ialah lawaknya termasuk dalam kategori lawak pandai (bukan lawak bodoh) kerana 85 daripadanya termasuk dalam kategori lawak berkaitan sains.



KidsClick!

www.kidsclick.org






















Anda tidak perlu risau membiarkan anak anda ‘bermain’ dengan enjin carian ini. Hal ini kerana pengurus laman KidsClick memastikan tiada laman sesawang yang tersenarai di sini yang bersifat ganas, melibatkan kebencian atau berkaitan aktiviti haram.

KidsClick menyenaraikan lebih kurang 5,000 laman sesawang yang disimpan dalam pelbagai kategori. Sebagai tambahan Laman Common Sense Media (commonsensemedia.org) yang membuat penilaian terhadap laman ini menyatakan bahawa ia sesuai untuk kanak-kanak berumur 8 tahun dan ke atas.


Ask Kids
www.askkids.com




















Ask Kids adalah laman carian ekslusif untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun. Ia memberikan peluang kepada para ibu bapa membantu mencari bahan pembelajaran yang sesuai dengan peringkat umur anak mereka berbanding penggunaan enjin carian untuk orang dewasa yang lain.

Berdasarkan kajian, strategi pembelajaran dengan kaedah visual terbukti meningkatkan pemahaman dan pengekalan maklumat dalam kalangan kanak-kanak. Maka hasil carian di sini dipaparkan dalam bentuk panel grafik yang menarik bagi meransang daya berfikir secara visual kanak-kanak.


Fact Monster
www.factmonster.com




















Laman yang dipunyai oleh Pearson Education ini mempunyai maklumat yang sangat banyak. Ia bukan sekadar enjin carian untuk kanak-kanak tetapi juga bertindak seolah-olah sebuah ensiklopedia di alam maya. Kategori utama maklumatnya termasuk berkaitan dunia, sukan, sains, matematik dan wang serta banyak lagi.

Turut disediakan di laman ini ialah meja rujukan (reference desk). Ia membantu anak anda menyiapkan kerja rumah dengan pantas dan berkesan melalui Homework Center.


Kidsites.org

www.kidsites.org






















Sebagai satu direktori bagi carian maklumat kanak-kanak, pautan-pautan ke laman lain dipilih dengan teliti. Ini bagi memastikan bahan yang disediakan pada laman sesawang yang dipautkan sesuai untuk kanak-kanak, ibu bapa dan guru. Menu utama untuk kanak-kanak dikategorikan untuk kanak-kanak kecil, prasekolah dan sekolah rendah. Juga disediakan direktori khas untuk guru dan ibu bapa.

Laman ini dikelolakan oleh syarikat UptoTen dari negara Mauritius. Editor kandungannya telah melayari dan menguji lebih 5,000 laman kanak-kanak. Hanya 1,000 sahaja yang paling menarik disenaraikan di sini.
Blog Widget by LinkWithin