The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.

Sunday, August 29, 2010

Preview buku Anakku Celik Komputer di KLfm

Tajuk Buku : ANAKKU CELIK KOMPUTER
Penulis : Shahrul Nizam Junaini
Terbitan : Buku Prima
Muka Surat : 158


Buku kedua minggu ini pula bagi ibu bapa yang masih mencari idea untuk memberikan pendidikan awal mengenai IT menerusi buku Anakku Celik Komputer tulisan Syahrul Nizam Junaini terbitan Buku Prima. Perkembangan teknologi maklumat tanpa sempadan semakin pesat seantero dunia. Bagaimanapun, pemantauan ibu bapa perlu agar anak-anak mendapat panduan yang tepat mengenai penggunaanya ke arah kebaikan. Tidak semua perisian sesuai untuk kanak-kanak. Ada sebahagiannya berunsur ganas malah mereka juga mungkin terdedah pada perkara yang boleh memanipulasi pemikiran mentah mereka.

Buku ini berguna bagi ibu bapa membantu kanak-kanak seawal usia setahun untuk mengenali dan memahami fungsi komputer. Antara yang menarik dalam buku ini, bagaimana untuk membina kepetahan bahasa, mencetus kreativiti anak, membina daya ingatan visual, panduan memilih perisian pembelajaran, risiko permainan online dan banyak lagi. Semuanya dalam buku Anakku Celik Komputer oleh Syahrul Nizam Junaini terbitan Buku Prima. Pasti berbaloi untuk ibu bapa.

Sunday, August 1, 2010

Facebook khas bagi Kanak-kanak

Pa&Ma Julai 2010
Oleh Syahrul Nizam Junaini


Hasil kajian terkini sempena Minggu Keluarga Kebangsaan di United Kingdom mendapati tidak sampai separuh (49%) kanak-kanak yang ditemu bual mengatakan bahawa ibu bapa sangat penting dalam hidup mereka.

28 peratus kanak-kanak yang berumur 11 tahun pula mengatakan Facebook mempunyai kesan yang lebih besar dalam hidup, melebihi kesihatan, bersukan dan bersekolah. Statistik kajian itu juga menunjukkan bahawa kanak-kanak perempuan lebih ramai menggilai Facebook dengan 4 orang daripada setiap 10 kanak-kanak perempuan.

Hasil kajian yang mengejutkan ini mengajak kita sebagai ibu bapa berfikir semula. Adakah anak kita sudah cukup matang bagi dibenarkan mempunyai akaun Facebook sendiri?

Pentadbir laman Facebook menetapkan syarat bahawa jika anak kita ingin mempunyai akaun Facebook, mereka harus berusia 13 ke atas. Namun jika anak kita yang berumur 10 tahun memasukkan maklumat dengan tarikh lahir palsu semasa pendaftaran, Facebook tetap menganggap maklumat itu betul lalu membenarkannya.

Justeru sebagai ibu bapa, tiada yang lebih berharga selain pemantauan berterusan terhadap aktiviti anak-anak kita di alam siber. Linda Caple-Wakeling, seorang ibu dari New South Wales, Austalia membenarkan anaknya berumur 11 tahun mempunyai akaun Facebook.
Namun beliau sendiri mempunyai autoriti mutlak meluluskan permintaan rakan-rakan anaknya yang ingin menjadikan anaknya rakan mereka. Beliau terlebih dahulu membaca latar belakang mereka. Biasanya mereka datangnya dari sekolah yang sama.

Dalam pada itu, menurut Professor Virginia Slaughter, pakar pembangunan sosial kanak-kanak dari University of Queensland, Austalia, Facebook juga merupakan platform bagi kanak-kanak bersosial. Sebagaimana orang dewasa yang perlu hidup bersosial, kanak-kanak juga berhak bersosial.

Namun beliau menasihatkan bahawa jika kita tidak mengawasi aktiviti Facebook anak-anak, kita mendedahkan mereka dengan bahana buruk yang bakal menimpa.

Togetherville: Facebook untuk Kanak-kanak

Togetherville adalah laman rangkaian sosial terbaru yang berfungsi seperti Facebook Cuma ia dikhaskan bagi kanak-kanak berumur 6-10 tahun. Perkara yang positif tentang Togetherville ialah ia sesuai dan selamat bagi anak-anak kita bersosial bersama rakan-rakan maya.

Mandeep Dhillon, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Togetherville berkata ibu-bapa hari ini sangat sibuk di pejabat. Selain itu mereka juga sibuk di alam maya dengan bersosial dan bersembang di Facebook.

Justeru beliau menggesa ibu bapa supaya menjadikan masa yang diperuntukkan di Facebook sebagai masa berkualiti. Dengan Togetherville kedua-dua pihak bersosial secara maya dengan interaksi yang selamat dan terjamin. Ibu bapa boleh mencapai akses ke Togetherville dengan log-in melalui akaun Facebook mereka yang dirangkaikan dengan Togetherville.

Hubungi penulis di emel syahruln77gmail bagi mendapatkan artikel penuh.
Blog Widget by LinkWithin