Friday, January 1, 2010

Risiko menonton TV

Secara umum kanak-kanak kecil berusia 2 hingga 3 tahun sudah boleh menonton televisyen. Umur yang lebih tepat ialah sekitar 2.8 tahun, berdasarkan tulisan Wilbur Schramm, Jack Lyle, dan Edwin B. Parker dalam buku Television in the Lives of Our Children.

Walaupun mereka tidak memahami 100 peratus apa yang dipaparkan, namun mereka sudah boleh mencerap pergerakan objek dan pertukaran imej pada skrin. Kesannya, pengaruh televisyen sangat mudah meresap dalam jiwa kanak-kanak.

Artikel bulan ini mengupas isu lama yang sehingga kini masih membelenggu ibu bapa. Adakah benar televisyen mendatangkan risiko pada kanak-kanak? Bagaimana mengawal pengaruh televisyen daripada terus mencemar minda mereka?

Risiko menonton televisyen

Baru-baru ini, satu kajian mendapati 73 peratus golongan muda dan kanak-kanak di Malaysia gemar menonton televisyen. Trend yang agak merisaukan ini telah menyebabkan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) melancarkan kempen berkaitan perlindungan kanak-kanak daripada risiko dan pengaruh media. Projek ini adalah di bawah Kempen Pengguna Kebangsaan (3K) bagi tahun 2008-2012.

Koordinator 3K Kebangsaan Datuk Selva Raj Paulus menjelaskan bahawa kanak-kanak berusia 5-10 di Selangor menghabiskan secara purata 133 jam seminggu bagi menonton televisyen tanpa pengawasan ibu bapa.

Secara kiraan mudah, lebih banyak masa yang diperuntukkan anak kita menonton televisyen, maka semakin kuranglah masa mereka menumpukan perhatian pada kerja rumah dan pelajaran. Bukan setakat itu, kajian juga mendapati aspek-aspek penting kehidupan seperti perkembangan sosial dan penglibatan dalam aktiviti fizikal turut berkurangan.

Namun pada pendapat saya rancangan televisyen itu sendiri bukanlah 100% berunsur negatif. Persoalannya sejauh mana kita sebagai orang tua mampu mengawal anak-anak kita dalam menonton televisyen? Adakah mereka faham sebagaimana kita faham definisi “unsur negatif” jika ada, pada satu-satu rancangan?

Dari segi perkembangan bahasa, kanak-kanak yang menonton siri kartun Jepun seperti Doraemon, Shin Chan dan Fukuchan akan mendengar bahasa yang sudah diterjemah ke Bahasa Melayu. Namun tanpa mereka sedari ada perkataan yang tidak diterjemah seperti matawang Yen. Maka semasa mereka bermain bersama rakan-rakan, mereka berkemungkinan menggunakan istilah Yen berbanding sen ataupun ringgit.

Perkara yang sering mereka dengar maka perkara itulah yang sering mereka pertuturkan. Malah tidak usah disebut tentang kanak-kanak, orang dewasa turut terpengaruh sehingga ada yang bercakap dalam pelat Doraemon.

Di samping itu, secara umum iklan-iklan produk di televisyen adalah bersifat kebendaan. Jarang kita berpeluang menonton iklan yang bersifat kerohanian terpapar melainkan iklan Hari Merdeka atau pada musim perayaan.

“Abah belikan adik permainan macam dalam televisyen itu ya?” Apakah respons kita apabila anak kita yang berumur 5 tahun meminta dibelikan permainan sebagaimana yang diiklankan? Kegagalan kita memenuhi kehendak bersifat kebendaaan pada anak boleh menjurus kepada rasa kurang senang pada diri anak kita. Maka wujud kebarangkalian berlaku konflik antara ibu bapa dan anak-anak jika permintaan mereka tidak ditunaikan segera.

Selain itu, menonton televisyen berjam-jam bermakna anak kita kurang melakukan pergerakan fizikal yang membolehkan mereka berpeluh. Perkara ini boleh membawa kepada risiko obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Berdasarkan kajian oleh Persatuan Nutrisi Malaysia (NSM), kadar obesiti di negara ini telah meningkat pada kadar 20 hingga 37 peratus dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Risiko obesiti dalam kalangan kanak-kanak juga dilihat semakin berbahaya. Satu artikel yang diterbitkan dalam Jurnal Antarabangsa Obesiti Kanak-Kanak mendapati kanak-kanak yang obes lebih berisiko mendapat penyakit jantung. Keadaan ini bersamaan dengan golongan dewasa yang berlebihan berat badan.

Tidak semuanya buruk

Saya tahu ada ibu bapa yang bersama-sama anak mereka menonton rancangan berkaitan kehidupan binatang di saluran seperti Animal Planet atau National Geographic. Semasa menonton, mereka berbincang dan bercerita. Senario ini merupakan salah satu kaedah meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak.

Di samping itu, kajian juga menunjukkan bahawa televisyen mampu meningkatkan kosa kata umum kanak-kanak. Kosa kata baru ini akan mereka praktikkan dalam menulis karangan bagi subjek bahasa di sekolah.

Televisyen juga boleh meningkatkan pengatahuan mereka dalam perkara yang diluar daripada apa yang ditetapkan dalam sukatan pelajaran di sekolah. Mereka boleh mempelajari pelbagai jurus ilmu seperti sains, arkeologi, angkasa lepas, muzik, seni bina dan banyak lagi.

Berdasarkan kajian American Academy of Pediatrics, secara purata kanak-kanak menonton 3 jam sehari. Namun tempoh maksimum yang dicadangkan cumalah 2 jam sehari, itupun bagi menonton rancangan berkualiti seperti Sesame Street atau Barney & Friends.

Saya cadangkan bagi anak-anak yang berumur 6 tahun ke atas, setiap kali mereka mahu menonton satu-satu rancangan, tanyakan mereka, “Apa yang adik pelajari daripada rancangan tadi?” Saya cadangkan juga agar disenaraikan rancangan yang mesti ditonton. Tetapkan jadual mingguan dan patuhi disiplin ini. Ini juga bermakna tiada rancangan lain yang boleh ditonton kerana tiada dalam jadual mereka.

Kesimpulannya disiplin dan kawalan ibu bapa adalah kunci utama dalam isu ini.

2 comments:

fa10 said...

salam dr edinburgh, scotland.
ternyata rancangan kanak2 di sini jauh lebih bermutu, berpendidikan, kreatif tanpa satu pun iklan diselitkan. saya maksudkan channel cbeebies, mmg bagus klu ada di malaysia

syahrulnizam said...

Terima kasih puan.

Sebab itu Malaysia masih dahagakan rancangan berkualiti sebagaimana di UK.

Blog Widget by LinkWithin