The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.

Saturday, December 19, 2009

Anakku Celik Komputer - laman Buku Prima

Anakku Celik Komputer
Syahrul Nizam Junaini
RM 18.50
ISBN: 978-967-5234-99-6
~168 hlm
Bahasa Melayu
Mengetengahkan peranan ibu bapa dalam membantu anak-anak seawal usia setahun untuk mengenali dan memahami fungsi komputer. Artikel-artikel ini adalah koleksi penulisan Syahrul Nizam Junaini dalam ruangan Anak dan ICT (kini Anda & ICT) di Majalah Pa&Ma.

Tarikh Terbit: 28 Dis 2009


Kanak-kanak dan komputer bukan lagi satu perkara yang asing. Malah mereka turut menjadi sebahagian pengguna teknologi ini. Namun begitu, sebagai ibu bapa, menjadi tanggungjawab kita untuk memantau segala aktiviti mereka yang melibatkan penggunaan komputer. Tidak semua laman web atau perisian sesuai untuk kanak-kanak. Ada sesetengahnya berunsur ganas malah terdedah pada perkara yang boleh memanipulasi fikiran mereka. Dengan mematuhi garis panduan serta kawalan yang cukup, komputer boleh diguna pakai dalam membantu meningkatkan proses pembelajaran kanak-kanak agar lebih mudah dan menarik. Dalam erti kata lain, jika dimanfaatkan sebaiknya oleh para ibu bapa, teknologi ini mampu meningkatkan perkembangan kanak-kanak. Anakku Celik Komputer, merupakan koleksi artikel penulisan Syahrul Nizam Junaini dalam ruangan Anak dan ICT (kini Anda & ICT) di Majalah Pa&Ma. Buku ini mengetengahkan peranan ibu bapa dalam membantu anak-anak seawal usia setahun untuk mengenali dan memahami fungsi komputer. Selain itu, buku ini disarankan untuk mereka yang terlibat secara langsung dalam industri pendidikan kanak-kanak prasekolah sebagai rujukan.

Sunday, November 22, 2009

Bakal terbit : Anakku Celik Komputer

























Buku Anakku Celik Komputer (ISBN 978-967-5234-99-6) adalah buku ketiga tulisan saya selepas Persembahan Hebat dengan PowerPoint dan Ilmu Pengaruh: Bukan Jampi, tetapi Seni. Buku terbitan Buku Prima ini adalah kompilasi artikel ruangan tulisan saya, Anak dan ICT di Majalah Pa&Ma terbitan Karangkraf.

Koleksi artikel di blog ini hanyalah sebahagian sahaja. Dapatkan buku ini untuk membaca keseluruhan artikel yang pernah saya tulis dari 2006 hingga sekarang!

Sunday, November 8, 2009

Awasi anak dari ketagihan Internet

ARKIB : 05/11/2009 Utusan Online

Awasi anak dari ketagihan Internet


ketagihan melayari Internet di kalangan pelajar harus dipantau.


MINGGU peperiksaan sudah berakhir. Buku-buku teks pinjaman juga telah dipulangkan. Inilah waktunya pelajar-pelajar 'berbulan madu' menunggu saat-saat akhir cuti persekolahan penggal yang akan tiba dua minggu lagi.

Jika di rumah, selain menonton televisyen, aktiviti yang paling popular ialah permainan komputer dan melayari Internet.

Kini dengan pelbagai laman web yang boleh dilayari secara percuma serta menghiburkan, telah melekakan dan menjadi ketagihan golongan remaja.

Penggunaan Internet yang keterlaluan telah menjadi satu masalah yang perlu dipandang serius oleh semua pihak terutama ibu bapa bukan sahaja di negara ini malah menjadi masalah sejagat.

Kanak-kanak dilihat sebagai paling terdedah apabila melayari web dan mudah menjadi mangsa gangguan dan pengintipan. Terdapat pelbagai sumber yang boleh didapati di dalam talian yang memberi tumpuan terhadap isu ini dan perkara lebih penting ialah pendekatan proaktif yang diambil oleh semua pihak untuk mendidik kanak-kanak.

Pakar Psikiatri Universiti Sains dan Kesihatan Oregon, di Portland, Amerika Syarikat, Dr. Jerald Block, dalam tulisan editorialnya untuk American Journal of Psychiatry berkata, masalah penggunaan Internet kini sudah menjadi serius di seluruh dunia dan tidak mustahil suatu hari nanti ia akan dianggap sebagai salah satu penyakit mental.

Menurut Dr. Jerald, beberapa kajian yang telah dibuat di beberapa negara mendapati masalah ketagihan Internet di negara berkenaan sudah mencapai tahap yang sebegitu serius sehingga kerajaan terpaksa mengambil langkah untuk mengatasi dan membendung masalah tersebut.

Di Korea Selatan pula, bagi menangani masalah ketagihan Internet ini, kerajaannya telah melatih 1,043 kaunselor bagi merawat ketagihan Internet dan menyenaraikan kira-kira 190 hospital dan pusat rawatan untuk tujuan ini.

Malah sebahagian ibu bapa di China yang berhadapan dengan anak-anak yang ketagihan Internet sanggup menghabiskan kira-kira RM4,680 sebulan untuk merawat anak mereka di klinik yang dikhaskan oleh kerajaan untuk merawat ketagihan Internet .

Mengapa jadi begitu? Ini kerana sistem komputer mampu dimiliki dan talian Internet mudah disediakan oleh sesiapa di rumah. Keputusan ibu bapa untuk membeli komputer dan menghubungkannya ke Internet biasanya untuk kebaikan anak mereka. Internet memberi pelbagai manfaat yang meluaskan pengetahuan dan sebagai alat komunikasi.

Kebelakangan ini, terdapat banyak kes dilaporkan di seluruh dunia berkaitan pengintipan dan gangguan siber terhadap kanak-kanak. Ini boleh dielakkan jika kanak-kanak sedar tentang selok belok kegiatan sedemikian dan cara pencegahan, termasuk perbualan selamat, pertemuan dengan orang asing dan sebagainya.

Ibu bapa perlu memainkan peranan mengajar anak mereka tentang keselamatan, bahaya dan bersikap bertanggungjawab dalam dunia siber.

Wednesday, October 28, 2009

Risiko permainan online

Oleh Syahrul Nizam Junaini
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaysia Sarawak

Perkembangan teknologi Internet cukup pantas. Jika dahulunya kita dihidangkan dengan laman web statik yang membosankan, kini muncul laman interaktif dan menarik seperti MSN MySpace dan Twitter. Selain itu laman seperti Facebook semakin popular terutama dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

Mungkin sebelum ini, anda antara kita yang dimanipulasi oleh anak-anak bagi membelikan mereka CD atau DVD permainan komputer atau Playstation. Permainan yang kita belikan mungkin yang tidak sesuai dengan umur mereka dari segi kandungannya. Sebagai ibu bapa kadang-kadang kita terlepas pandang perkara ini. Masalah permainan komputer bertambah parah apabila wujud permainan percuma di Internet. Ia tidak perlu dibeli sebagaimana CD atau DVD.

Serentak dengan kepesatan perkembangan teknologi, wujud juga permainan dalam talian yang mungkin berisiko tetutama bagi kanak-kanak. Kajian oleh The ChildWise Monitor Report pada tahun 2008 menunjukkan bahawa permainan video adalah antara aktiviti dalam talian paling digemari kanak-kanak. Buktinya 47 peratus daripada responden kajian dari kalangan kanak-kanak lelaki berusia 7-10 menggunakan Internet untuk bermain permainan video.

Malah bagi kanak-kanak kecil, Internet adalah permainain, dan permainan adalah Internet.
Permainan percuma ini sekali imbas seolah-olah direka untuk anak-anak. Ia menggunakan watak beranimasi yang menarik dengan lukisan dan warna yang ceria.

Namun disebalik itu, terdapat satu permainan berasaskan Flash yang misinya adalah untuk menangkap foto watak perempuan seksi. Watak ini agak bergerak-gerak pada senario tertentu dalam aksi yang boleh mendatangkan rasa ghairah.

Apa yang pemain perlu lakukan ialah menangkap gambar yang paling seksi. Lebih seksi gambar yang ditangkap, maka lebih tinggi markah yang diperolehi. Perkara yang mengejutkan ialah berdasarkan maklumat sumber, ia telah dimainkan lebih dari 6.5 juta kali sejak dilancarkan pada bulan Mac 2008. Rajah di bawah menunjukkan paparan permainan tersebut.



















Pada permainan dalam talian seperti ini, kanak-kanak sudah tentu suka melihat watak beranimasi yang dilukis dengan cukup kemas. Mereka pasti berminat mencuba permainan ini terutama selepas melihat montaj pembukaannya.Namun bolehkan mereka membezakan baik buruk permainan ini? Selain itu, tiada sekatan yang meminta pengguna memasukkan data berkaitan umur sebelum boleh bermain permainan ini. Selain unsur lucah, kanak-kanak juga terdedah risiko penggunaan bahasa kasar atau kesat, komentar bersifat rasis, atau gangguan lain jika ada fungsi chat pada permainan tersebut. Mereka boleh bersembang dengan hampir sesiapa sahaja dari seluruh dunia sambil menunggu giliran, seperti pada permainan Yahoo Pool. Selain itu, walaupun pada permainan tertentu yang diklasifikasikan sebagai bersih, terselit juga kandungan yang bersifat komersial. Kesannya jutaan kanak-kanak di seluruh dunia menghadapi risiko pengaruh negatif permainan dalam talian jika tiada usaha tegas dilaksanakan. Sebab itu beberapa negara melarang sepenuhnya kandungan dalam talian khas untuk orang dewasa bagi diakses oleh semua peringkat umur. Sementara itu di Amerika Syarikat, ada antara perpustakaan sekolah menerima dana persekutuan bagi usaha menyekat akses kepada kandungan yang tidak sesuai. Di United Kingdom pula, satu badan yang dipanggil Majlis Keselamatan Internet bagi Kanak-kanak (UKCCIS) telah ditubuhkan. Ia bermatlamat mewujudkan kerjasama segenap organisasi daripada industri dan NGO untuk bekerjasama dengan kerajaan. Ini bagi memastikan Internet adalah tempat yang selamat bagi kanak-kanak. Salah satu usaha UKCCIS adalah mewujuskan sistem klasifikasi permainan komputer. Klasifikasi ini bagi membolehkan ibu bapa atau penjaga menyemak kesesuaian satu-satu permainan bagi kumpulan usia anak mereka. Dari segi teknikal, anda boleh setkan polisi tatacara keselamatan bagi jenis laman yang boleh atau tidak boleh dilayari oleh anak anda. Tetapi melalui enjin carian seperti Google dan Yahoo, bagi anak anda yang sudah boleh membaca, mereka mungkin akan menaip kata kunci carian seperti “games” dan sebagainya. Mereka juga masih tetap berisiko. Paparan iklan permainan yang ditunjukkan mungkin membawa mereka ke laman permainan yang direka khas bagi orang dewasa. Selain itu, selepas anak anda menggunakan enjin carian ini, anda boleh menyemak semula laman-laman yang telah mereka layari dengan melihat history pada pelayar web anda. Anda juga boleh melihat kata kunci yang “terlekat” pada kotak carian. Sebagai penutup, adakah anda terfikir untuk memasang Internet bagi kegunaan anak anda di rumah? Fikirkan dua kali. Dengan Internet, anda telah membuka pintu rumah anda ke dunia luar. Adakah anda cukup berani membiarkan anak yang berusia tujuh tahun berjalan ke kedai sebelum mengajar mereka bagaimana melintas jalan?

Thursday, October 1, 2009

Belajar dan bergembira di Internet!

Oktober 2009

Teknologi dan aplikasi Internet kini muncul sebagai media yang sangat berkesan terutama bagi tujuan pembelajaran. Buktinya muncul beribu-ribu, malah mungkin mencecah jutaan laman web berkaitan pembelajaran. Namun satu perkara penting yang harus diketahui oleh para ibu bapa ialah konsep pembelajaran bagi kanak-kanak harus diselit dengan unsur keseronokan.

Menurut kajian pakar, pendekatan bermain sambil belajar (edutainment) dapat meningkatkan keupayaan kognitif kanak-kanak. Ia juga mampu membakar semangat ingin tahu dalam diri mereka melalui aktiviti penerokaan dan penemuan. Selain itu ia juga boleh memperkemas kemahiran motor kasar dan halus jari-jemari mereka hasil interaksi dengan tetikus. Selain itu, pendekatan edutainment juga mampu mencetus pemikiran kritis dan kreatif dalam kalangan kanak-kanak.

Arikel kali ini mengupas tiga lagi laman web yang pasti menarik perhatian anak anda. Paling penting dalam keseronokan mereka bermain, tanpa disedari mereka sebenarnya sedang belajar.

ZiggityZoom
www.ziggityzoom.com

Laman ZiggityZoom mengambil seekor arnab bernama BunBun sebagai maskotnya. Laman ini mudah dilayari melalui susunan menunya yang jelas. Lima menu utamanya terdiri daripada permainan, mewarna, bercerita, dunia hiburan dan aktiviti. Selain permainan, ia juga menyediakan permainan yang boleh dicetak.

Selain itu, buku cerita interaktif yang disediakan di laman ini disediakan dengan fungsi penyelak halaman. Dengan itu anak anda akan merasakan bahawa mereka benar-benar sedang membaca buku sebenar. Walaupun lakaran kartunnya agak mudah dan kurang kompleks, namun jalan ceritanya telah digarap dengan kemas.

Selain itu, halaman buku ceritanya tidak sesak dengan teks. Pilihan fon juga menarik dan mudah dibaca. Antara tajuk cerita yang pasti menarik perhatian anak anda adalah seperti Easter Egg Book, Beakley Swims, Beakley Takes a Trip, My Little Pirate, Princess Little, dan Goodie Twoshoes-Being a Kind Person.

Di samping itu, fungsi kawalan audio juga disedikan. Ini bermakna anak anda boleh memilih sama ada untuk membaca buku sambil mendengar teksnya dibacakan atau sebaliknya. Laman ini juga padat dengan aktiviti- aktiviti dalam talian yang pasti menggembirakan anak anda. Sebab itu memang tepat laman ini menggunakan motto “A fun place to zoom around.”



















SproutOnline
www.sproutonline.com/sprout/games/

Laman Sprout Online asalnya merupakan siaran TV kanak-kanak 24 jam yang pertama kali muncul, hasil inisiatif Public Broadcasting Service (PBS) Kids. Kini ia muncul di Internet khas untuk kanak-kanak berumur 2-5 tahun. Selain permainan, laman ini turut menyediakan pilihan aktiviti dalam talian yang sangat banyak untuk anak anda.

Sebagai contoh, ruangan permainan pada laman ini menyediakan permainan interaktif yang sangat pelbagai. Ia dikategorikan kepada kreativiti, kemahiran motor halus, pembacaan dan penceritaan, kemahiran daya ingatan, penyelesaian masalah dan teka-teki serta sisih dan padankan. Saya meminati permainan ejaan yang membenarkan anak saya mengklik pada huruf-huruf yang membentuk perkataan tertentu. Permainan ini bernama Spelling with Caillou.

Di samping itu, pilihan permainan juga disusun berdasarkan watak kartun. Antara watak di TV yang terkenal adalah seperti Thomas & Friends, Fifi and the Flowertots, Bob the Builder, Kipper, Make Way for Noddy, Play With Me Sesame,Barney & Friends, serta Roary the Racing Car. Selain itu, pada setiap minggu satu permainan akan dipilih sebagai permaian terbaik.

















FunBrain.com
www.funbrain.com

Laman ini menawarkan permainan berunsurkan pembelajaran yang menarik dan berkualiti. Buktinya ialah sejak ia wujud lebih 50 anugerah telah dimenanginya. Ini termasuk anugerah Digital Dozen yang diterima daripada Eisenhower National Clearinghouse for Mathematics and Science Education.

Pada laman ini, anak anda boleh mempelajari subjek matematik selain membaca dan mempertingkatkan kemahiran tatabahasa. Antara permainan popular ialah seperti Math Baseball, Number Cracker, Spell Check, Connect the Dots, Guess the color dan banyak lagi. Selain itu, antara permaian klasik Fun Brain adalah seperti Math Baseball, The Plural Girls, Proton Don, Grammar Gorillas dan Math Car Racing.

Selain hanya bermain, fugsi interaktiviti juga disediakan dimana anak anda turut boleh bersembang (chat). Tidak ketinggalan, maklumat yang disediakan di sini amat berguna untuk para guru bagi dijadikan alat bantu mengajar. Bagi mengekalkan kualiti kandungan pembelajaran, bagi setiap permainan, temanya sentiasa tertumpu pada konsep nombor dan perkataan sebagai fokus utama.

Di samping itu, laman ini memuatkan lebih kurang 40 permainan yang pasti mengasyikkan anak anda. Watak kartun juga digunakan untuk mendampingi anak anda sepanjang mereka belajar. Permainan yang dihasilkan dengan perisian Flash juga pantas dimuat turun tanpa memerlukan anda memasang (install) perisian yang lain.

Paling penting, FunBrain.com menyediakan anda dan anak anda bahan pembelajaran yang menyeronokkan secara percuma. Bukan itu sahaja, anda juga tidak “dipaksa” untuk mendaftar terlebih dahulu sebelum boleh menggunakan laman ini.


Tuesday, September 1, 2009

Enjin Carian untuk kanak-kanak

September 2009

Pada zaman yang serba canggih ini, kanak-kanak turut tidak ketinggalan menikmati arus perubahan teknologi maklumat. Saya berminat meminjam satu frasa dari salah sebuah syarikat penyiaran yang berbunyi, “macam-macam ada.”

Di Internet, dianggarkan wujud puluhan bilion laman sesawang. Maka sudah tentu maklumat yang banyak ini boleh membantu anak-anak anda dalam proses pembelajaran. Ia juga dapat meluaskan ruang lingkup minda anak anda.

Walaupun Internet menawarkan maklumat yang banyak, proses carian perlu dilakukan. Untuk memudahkan proses pencarian, kita disediakan dengan enjin carian popular seperti Yahoo! atau Google. Namun ada kalangan ibu bapa yang terpaksa menghabiskan masa berjam-jam mencari maklumat yang sesuai untuk anak mereka.

Masalah berpunca apabila enjin carian seperti Yahoo! atau Google tidak direka bentuk khas bagi kegunaan kanak-kanak. Sebagai contoh, walaupun enjin carian ini tidak mengandungi bahan berunsur lucah, namun ada kalanyha kanak-kanak terdedah dengan paparan iklan yang memaparkan gambar-gambar yang tidak sesuai dilihat oleh mereka.

Selain itu, penggunaan enjin carian memerlukan anda memasukkan kata kunci carian yang tepat. Katakan anda ingin mencari tentang humor atau lawak untuk kanak-kanak. Jika anda cuma menaipkan kata kunci “humor”, pasti humor untuk orang dewasa juga dimasukkan dalam senarai hit carian.

Saya sendiri mempunyai dua orang anak yang masing-masing berumur enam dan lima tahun. Mereka sering meminta saya mencari gambar bagi watak kartun kegemaran mereka. Maka saya gunakan Google Images. Namun sering kali saya temui gambar-gambar watak kartun yang muncul hasil carian adalah dalam bentuk yang tidak sesuai dilihat oleh kanak-kanak.

Maka artikel kali ini membincangkan lima enjin carian khas untuk kanak-kanak.

Yahoo! Kids

http://kids.yahoo.com



















Yahoo! Kids dahulunya dikenali sebagai Yahooligans (www.yahooligans.com). Ia dilaporkan sebagai direktori carian yang pertama wujud sejak bulan Mac 1996. Direka bentuk khusus untuk kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun, kandungannya dipilih dengan teliti supaya menepati keperluan carian kanak-kanak. Kini Yahoo Kids juga mempunyai enjin carian dalam dua bahasa asing iaitu Jepun dan Korea.

Di Yahoo! Kids, senarai direktori utamanya dimasukkan dalam 10 kategori. Antaranya ialah permainan, muzik, filem, lawak, sukan dan ibu bapa. Ruangan utama enjin carian ini ialah zon belajar (study zone). Di sini disediakan maklumat berkaitan negara-negara di dunia (World Factbook). Maklumat negara yang disediakan termasuk peta, bendera, statistik, kerajaan dan matawang.

Saya sendiri meminati ruangan lawak (jokes). Semasa artikel ini ditulis, terdapat lebih 2000 lawak disediakan. Apa yang menarik minat saya ialah lawaknya termasuk dalam kategori lawak pandai (bukan lawak bodoh) kerana 85 daripadanya termasuk dalam kategori lawak berkaitan sains.



KidsClick!

www.kidsclick.org






















Anda tidak perlu risau membiarkan anak anda ‘bermain’ dengan enjin carian ini. Hal ini kerana pengurus laman KidsClick memastikan tiada laman sesawang yang tersenarai di sini yang bersifat ganas, melibatkan kebencian atau berkaitan aktiviti haram.

KidsClick menyenaraikan lebih kurang 5,000 laman sesawang yang disimpan dalam pelbagai kategori. Sebagai tambahan Laman Common Sense Media (commonsensemedia.org) yang membuat penilaian terhadap laman ini menyatakan bahawa ia sesuai untuk kanak-kanak berumur 8 tahun dan ke atas.


Ask Kids
www.askkids.com




















Ask Kids adalah laman carian ekslusif untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun. Ia memberikan peluang kepada para ibu bapa membantu mencari bahan pembelajaran yang sesuai dengan peringkat umur anak mereka berbanding penggunaan enjin carian untuk orang dewasa yang lain.

Berdasarkan kajian, strategi pembelajaran dengan kaedah visual terbukti meningkatkan pemahaman dan pengekalan maklumat dalam kalangan kanak-kanak. Maka hasil carian di sini dipaparkan dalam bentuk panel grafik yang menarik bagi meransang daya berfikir secara visual kanak-kanak.


Fact Monster
www.factmonster.com




















Laman yang dipunyai oleh Pearson Education ini mempunyai maklumat yang sangat banyak. Ia bukan sekadar enjin carian untuk kanak-kanak tetapi juga bertindak seolah-olah sebuah ensiklopedia di alam maya. Kategori utama maklumatnya termasuk berkaitan dunia, sukan, sains, matematik dan wang serta banyak lagi.

Turut disediakan di laman ini ialah meja rujukan (reference desk). Ia membantu anak anda menyiapkan kerja rumah dengan pantas dan berkesan melalui Homework Center.


Kidsites.org

www.kidsites.org






















Sebagai satu direktori bagi carian maklumat kanak-kanak, pautan-pautan ke laman lain dipilih dengan teliti. Ini bagi memastikan bahan yang disediakan pada laman sesawang yang dipautkan sesuai untuk kanak-kanak, ibu bapa dan guru. Menu utama untuk kanak-kanak dikategorikan untuk kanak-kanak kecil, prasekolah dan sekolah rendah. Juga disediakan direktori khas untuk guru dan ibu bapa.

Laman ini dikelolakan oleh syarikat UptoTen dari negara Mauritius. Editor kandungannya telah melayari dan menguji lebih 5,000 laman kanak-kanak. Hanya 1,000 sahaja yang paling menarik disenaraikan di sini.

Tuesday, July 21, 2009

Komuniti ibu di alam maya

Dunia ICT, Ogos 2009

Tn Hj Syahrul Nizam Junaini
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Malaysia Sarawak


Perkembangan pesat teknologi Internet dan sesawang (web) telah mengubah cara kita berkomunikasi. Kini muncul laman rangkaian sosial seperti Facebook, Friendster dan Multiply. Nama-nama laman seperti ini tidak pernah kita dengari satu ketika dahulu.

Sudah pasti teknologi ini membuka ruang dan memberi peluang kepada para ibu berhubung antara satu sama lain dengan lebih mudah. Dengan capaian dari rumah masing-masing, anda sudah boleh berada dalam satu komuniti ibu bapa secara dalam talian yang wujud secara maya.

Majalah Pa&Ma sendiri dengan inisiatif editornya telah mewujukan satu laman peminat (fan page) di aplikasi Facebook (www.facebook.com). Apa yang menarik ialah dalam tempoh tidak sampaipun sebulan, Pa&Ma sudah berjaya menarik lebih 1,200 peminat. Ada antara peminat yang datangnya dari luar negara seperti Amerika Syarikat dan Qatar. Justeru editornya menyarankan agar ruang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk berinteraksi bersama Pa&Ma dan rakan peminat yang lain.

Sudah tentu kewujudan laman peminat Pa&Ma di Facebook menjadi pelengkap kepada versi cetakan majalahnya. Walaupun cetakan majalah ini hanya terbit sebulan sekali, namun ia tidak menghalang anda berinteraksi dengan Pa&Ma ini 24 jam sehari dan 7 hari seminggu.

Apa lagi bertindaklah sekarang. Jika anda belum lagi mempunyai akaun Facebook, daftarlah segera. Kemudian pada kekotak carian taipkan Pa&Ma. Selepas itu carikan pautan “Become a fan.”




















Pa&Ma di Facebook

Setelah anda menjadi ahli, anda akan dikemaskini dengan pengumuman tentang edisi terkini Pa&Ma. Anda juga akan dapat mengetahui tentang aktiviti terkini seperti Santai Pa&Ma dan Pertandingan Bayi Pa&Ma. Jika anda ingin melihat gambar aksi-aksi si comel semasa aktiviti Pa&Ma yang lepas seperti Jom Balik Kampung Pa&Ma-Mamypoko, di sinilah tempatnya.

Selain itu, jika anda ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang satu-satu perkara, taipkan sahaja isu yang anda ingin bincangkan pada kotak “Share.” Sebagai contoh, isu ruam susu telah menerima respons daripada lebih 20 peminat. Ruang perbincangan setakat ini turut mengutarakan isu seperti susu ibu dan demam dalam kalangan kanak-kanak.

Pada ruangan links pula, disenaraikan alamat laman sesawang yang berkaitan dengan Pa&Ma. Antaranya ialah alamat laman sesawang Dr. Ismail Thambi, panel ruangan Terapi Perkahwinan dalam Pa&Ma (drismailtambi.com).

Selain itu, anda juga boleh turut serta dalam komuniti Mamafc (www.mamafc.com). Ia merupakan satu laman sesawang komuniti untuk para ibu bapa atau sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan maklumat tentang isu kanak-kanak di Malaysia. Ia dilengkapi dengan blog dan forum sebagai kaedah utama interaksi. Turut disediakan ialah galeri gambar dan video.

















Mamafc.com

Mamafc.com merupakan satu laman yang membolehkan anda berkongsi pengetahuan tentang isu keibubapaan dan penjagaan anak. Biarpun anda belum lagi mempunyai anak, namun anda boleh berkongsi cerita tentang anak buah atau sesiapa sahaja.

Apa yang menarik ialah anda bukan sekadar menjadi pembaca yang bersifat pasif. Anda juga boleh mengutarakan sebarang kemusykilan berkaitan. Jika anda mempunyai pengetahuan atau pengalaman tertentu tentang penjagaan kanak-kanak sebagai contoh, anda berpeluang berkongsi kepakaran bagi membantu ibu-ibu yang lain.

Di samping itu, jika anda berminat menambah pendapatan sampingan, anda juga boleh menjual barang-barang yang berkaitan melalui iklan percuma yang disediakan.

Apa yang diperlukan ialah anda perlu mendaftar terlebih dahulu sebagai ahli. Selepas mengisi borang pendaftaran yang cuma mengambil masa beberapa saat, anda sudah boleh memuat naik gambar atau video.

Gambar anak anda yang comel kemudian akan dipaparkan pada preview galeri di laman utamanya. Selain itu, anda juga boleh menulis blog dan kongsikannya dengan rakan dan taulan.

Satu aplikasi atas talian yang menarik pada pandangan saya ialah aplikasi Pengiraan Kehamilan (Preggy Calculator). Kalendar mudah ini cuma memerlukan anda memasukkan dengan tepat tarikh terakhir haid, tempoh kitaran dan tempoh haid.

Apa yang menarik ialah anda akan diberikan tarikh jangkaan bersalin jika sah mengandung.

Hasil pengiraan dipaparkan dalam bentuk graf. Ia mengandungi tarikh paling berpotensi jika anda ingin mendapat anak dan kadar kewujuduan telur yang matang. Kebarangkalian mendapat anak lelaki atau perempuan juga ditunjukkan.

























Aplikasi Pengiraan Kehamilan

Ruangan forum pula mencakupi isi keibubapaan yang banyak dan meluas. Antaranya adalah berkaitan kehamilan dan kelahiran, penyusuan, kesihatan dan nutrisi, kelengkapan bayi dan lampin. Setakat artikel ini ditulis, sudah ada lebih 300 pengguna berdaftar laman ini.

Untuk artikel lengkap, dapatkan segera Pa&MA Ogos di pasaran!

Friday, July 17, 2009

Laman untuk si comel






New Web Site Reviews for Preschoolers (ages 2-4)

Wednesday, June 17, 2009

testing

Pa&Ma Jun 2009

Saturday, April 25, 2009

Selami isu penyusuan bayi secara online

Tn Hj Syahrul Nizam Junaini
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Malaysia Sarawak

Adakah anda baru sahaja menimang anak sulung? Sebagai ibu, sudah tentu isu utama yang anda risau ialah dari segi penyusuan bayi anda. Sudah tentu anda tercari-cari sumber bagi mendapat maklumat tentang perkara penting ini. Adakah anda mampu menyusukannya? Ingin pelajari teknik penyusuan terbaik bagi permata hati anda?

Kini jangan risau. Terdapat banyak laman web yang menyediakan maklumat berguna bagi membantu anda.

Artikel bulan ini mengupas tiga laman sesawang (web) yang boleh anda layari. Saya akan bincangkan satu laman web dari luar negara dan dua dari dalam. Kesemuanya padat dengan panduan praktikal yang akan menambah keyakinan anda menyusukan bayi.

























breastfeeding.com



Laman pertama yang ingin saya ketengahkan ialah breastfeeding.com. Laman yang diusahakan pada 1998 ini kini muncul sebagai antara laman rujukan sehenti bagi para ibu dari seluruh dunia.

Laman ini berjaya menyatukan para ibu dengan pakar laktasi dan perubatan kanak-kanak secara maya. Para ibu bebas mengajukan soalan berkaitan penyusuan dan laktasi. Kemudian soalan mereka akan dijawab oleh doktor dan pakar berwibawa yang akan membimbing anda.


Susuibu.com


Laman kedua ialah Susuibu.com. Laman yang berpangkalan di Bandar Baru Bangi, Selangor ini merupakan sebuah portal khas untuk anda. Ia didedikasi bagi membimbing anda melalui perkongsian maklumat mengenai penyusuan susu ibu.

Laman ini menggunakan “Tiada yang lebih baik darinya...” sebagai tagline atau tema. SusuIbu.com diselenggarakan beberapa ibu yang berpengalaman menyusukan bayi mereka. Mereka berhasrat berkongsi maklumat dengan masyarakat ibu di Malaysia secara maya. Mereka yang bertugas dari rumah ini telah menggunakan teknologi internet dengan sebaiknya sebagai pengantara untuk bertemu pengunjung web.


susuanibu-pk.gov.my


Laman ketiga ialah laman kelolaan Persatuan Penasihat dan Pakar Laktasi Malaysia (PPPLM). Persoalan tentang penyusuan susu ibu telah dikumpulkan oleh PPPLM berdasarkan soalan-soalan popular yang sering diajukan oleh para ibu.

Benarkah menyusu bayi akan menjejaskan bentuk payudara? Bagaimana cara meletakkan bayi pada payudara? Berapa lama anda harus menyusu pada sebelah payu dara? Kenapa susu anda kelihatan cair? Bagaimana jika bayi anda mengalami sakit tumbuh gigi dan enggan menyusu? Kesemua persoalan ini akan terjawab di laman tersebut.

Sunday, March 8, 2009

Free Draw dari NickJR.com serlah kreativiti kanak-kanak

Pa&Ma, Mac 2009.










































































Kereta dan Pokok Bunga I
Hasil kerja Nur A'isyah Nadheerah Syahrul, 5 tahun.


Kereta dan pokok bunga II.


Pokok bunga dan Zirafah.

Bas

Dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), isu kreativiti mula menarik perhatian ibu bapa. Beribu-ribu laman web khas untuk kanak-kanak kini muncul umpama cendawan selepas hujan. Namun masih ramai ibu-bapa tercari-cari laman yang sesuai bagi memperkembang bakat melukis anak mereka.

Sehubungan itu, laman sesawang (web) NickJR.com telah memperkenalkan Free Draw. Ia merupakan permainan melukis interaktif yang membolehkan si kecil menyerlah kreativitinya. Jika anak sudah boleh menggerakkan tetikus (mouse), perkenalkan Free Draw kepadanya.

Daripada segi perkembangan kognitif kanak-kanak, Free Draw merupakan satu kaedah bagi anak anda meluahkan perkara yang ada di minda mereka. Melalui imaginasi dan percubaan (experimentation), mereka bebas melakar, mengecat dan membentuk objek dalam dua dimensi. Pilihan warna yang pelbagai menambah lagi keceriaan perisian atas talian ini.

Menurut laman web NickJr.com, Free Draw mampu memperkukuh kemahiran visual dan ruang (visual-spatial) kanak-kanak.Umur kanak-kanak yang disarankan untuk perisian ini adalah sekitar tiga hingga enam tahun.

Dalam pada itu, FreeDraw adalah siri pertama dari permainan bertemakan “Pusat Kreativiti” di NickJr.com. Ia mendedahkan kanak-kanak tentang penggunaan perisian melukis yang mudah.

Walaupun mudah, namun fungsi melukis pada perian ini boleh mencabar perisian grafik untuk orang dewasa seperti Adobe Photoshop. Namun saya sarankan anda agar membantu menggerakkan tangan dan tetikus bagi membimbing anak anda pada sesi-sesi awal penggunaannya.

Selepas skrin pengenalan, satu lagi skrin arahan disediakan sebagai pembimbing atau tutorial. Ia perlu bagi memudahkan kanak-kanak menggunakannya. Tayangan animasi digunakan bagi menujukkan cara membuat pilihan menu seperti alat melukis dan mengecat. Kemudian anak anda akan ditunjukkan bagaimana memilih warna yang mereka gemari. Arahan dalam skrin ini turut disertakan dalam bentuk audio suara latar.

Bagaimanapun, untuk anak anda yang sudah berkali-kali menggunakan perisian ini, mereka boleh sahaja klik pada butang “Skip.” Ini bermakna mereka tidak perlu lagi membuang masa mempelajari semula tutorial bagi perkara yang sudah diketahui.

Fungsi utama

Peralatan melukis yang disediakan merangkumi krayon, spray can, teks, pen, cat air dan pen penanda (marker). Fungsi lain yang lebih ‘gempak’ kesan artistiknya adalah seperti splatter, goo, springkle dan sparkle. Selain itu 26 pilihan warna diberikan bagi anak anda menceriakan lukisannya. Selain itu, fungsi bantuan (help) turut disediakan bagi menolong anak anda memahami fungsi setiap ikon.

Katakan anak anda ingin memadamkan objek-objek yang dilukis, fungsi pemadam ada disediakan. Namun jika hasil lukisan sudah memenuhi ruang kanvas, sudah tentu penggunaan fungsi getah pemadam sudah tidak seuai. Maka turut disediakan fungsi bagi membersihkan keseluruhan kawasan melukis. Dengan sekali klik (ikon pangkah), kanvas akan bersih serta merta dan sedia untuk digunakan bagi melukis.

Bagaimanapun, sedikit kelemahan yang saya rasai ialah ruang melukis atau kanvas yang desediakan adalah terlalu sempit atau kecil. Perkara ini ditambah lagi dengan saiz berus cat atau mata pena yang terlalu besar. Walaupun saiz mata pena yang terkecil dipilih, namun pada pandangan saya, saiznya masih terlalu besar. Ini menghadkan bilangan objek yang boleh dilukis di atas satu-satu kanvas.

Selain itu, selepas anak anda mengekspresi atau meluahkan idea seninya, ada eloknya hasil seni tersebut disimpan. Anda boleh merakam skrin lukisan dengan menekan butang PrtSc pada kekunci komputer anda. Kemudian buka perisian grafik seperti PhotoShop dan pilih fungsi tampal (paste). Kemudian sunting dan simpan fail ini dalam format GIF.

Sebagai alternatif, jika komputer anda tersambung ke pencetak bewarna, ada baiknya hasil seni ini dicetak. Kemudian anda boleh simpan cetakan ini di dalam bingkai gambar.

Pujian dan galakan

Dengan bantuan ‘suara guru’ kanak-kanak akan dapat memahami apa yang dimaksudkan dengan ikon-ikon yang mungkin tidak pernah mereka jumpai sebelum ini. Walaupun dalam Bahasa Inggeris, anak saya juga mendapat manfaat dari segi perkembangan berbahasa melalui perisian ini.

Apa saya yang anak anda lukis, pujian menggunung akan mereka terima dalam bentuk suara latar. Antaranya adalah seperti “Cool”, “Fantastic!”, “Wow! Good job!”, “That looks great”, “Looks like an artist!”, “Well done!” dan banyak lagi.

Anak bongsu saya, Muhammad Amar Nazeer, 3 tahun saya biarkan bebas bermain dengan warna dan berus cat. Saya pada mulanya hampir tergelak melihat lukisannya yang comot dan hanya menggunakan warna merah dan kuning. Apabila ditanya, dijawabnya: “Amar lukis api!”.

Kakaknya pula, Nur Aisyah Nadheerah, 5 tahun sudah mampu menampilkan hasil seni yang boleh saya banggakan. Tiga keping lukisan di bawah adalah hasil kreativitinya yang diserlahkan melalui Free Draw.

Layari NickJr.Com hari ini dan biarkan anak anda bebas berkarya. Siapa tahu, Free Draw bakal menyerlahkan bakat anak anda seumpama pelukis terkenal dunia seperti Claude Monet atau Pablo Picasso!

Thursday, March 5, 2009

Amar playing online games

Anak saya, 4 tahun.

Thursday, February 19, 2009

Manfaatkan maklumat di Babycenter

Pa&Ma Mac 2009, hal. 134-135.

Hj. Syahrul Nizam Junaini
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Malaysia Sarawak

Semasa isteri saya mengandung anak pertama, kami terjumpa satu laman web (sesawang) berkaitan keibubapaan. Laman Babycentre (babycentre.co.uk) membolehkan saya dan isteri menjejaki perkembangan janin dari minggu ke minggu.

Sejurus pulang dari lawatan pertama ke klinik, saya telah masukkan tarikh jangkaan bersalin melalui fungsi jejak kehamilan yang disediakan di laman ini. Di sepanjang tempoh kehamilan, saya menerima e-mel demi e-mel. Ia berkaitan panduan dan nasihat berguna bagi membantu kami. Maklumlah pada masa itu kami belum lagi mempunyai pengalaman yang cukup sebagai ayah dan ibu.

Kini anak sulung kami sudah berumur 4 tahun. Namun saya masih lagi menerima e-mel dari Babycentre. E-mel yang dihantar menerangkan perkembangan fizikal serta kognitif anak kami. Itu kisah empat tahun lepas.

Kini muncul pula Babycentre versi Malaysia (www.babycenter.com.my). Laman ini ialah ‘anak’ kepada laman asal yang berpangkalan di United Kingdom. Fungsi utama laman ini untuk membantu ibu bapa mendapatkan maklumat tentang kehamilan dan perkembangan bayi.

Selain itu, untuk pengetahuan anda, Babycentre kini sudah wujud dalam pelbagai bahasa. Antaranya adalah Arab, Jerman, Sepanyol dan banyak lagi. Ia juga telah membuka cawangannya di negara-negara seperti Brazil, Kanada, China, India, Mexico, Filipina, Singapura, Sweden dan Switzerland.

Dari segi kandungan, artikel di sini disusun bermula dengan maklumat tentang usaha mengandung. Perbincangan berkisar tentang usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk ibu bapa yang cuba mendapatkan anak. Kategori artikel kedua pula berkaitan proses kehamilan. Kemudian artikel dikelaskan kepada perkara berkaitan bayi dan anak kecil.

Selain itu, maklumat yang terdapat di laman ini disusun berdasarkan kronologi perkembangan bayi. Anda boleh mendapat pengetahuan lanjut tentang bagaimana janin berkembang dari minggu keempat hingga ke-39. Kemudian ketahui bagaimana pantasnya bayi anda membesar dari minggu pertama hingga umurnya mencecah 11 bulan. Seterusnya, perbincangan tentang perkembang anak anda diteruskan sehingga dia mencecah umur tiga tahun.




Senarai ahli panel pakar Pa&Ma




Sunday, February 1, 2009

Kongsi pengalaman hamil dengan blog

Feb 2009

Hj. Syahrul Nizam Junaini
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Malaysia Sarawak
http://www.syahrulnizam.com/


Kehamilan merupakan tempoh paling istimewa dalam kehidupan seorang wanita. Perkara ini pasti dirasai terutama oleh mereka yang kali pertama mengandung.

Hari demi hari, ada sahaja pengalaman baru dirasai. Selain itu muncul maklumat baru yang didengari atau dipelajari dari rakan-rakan yang berpengalaman.

Di samping itu, ada juga ibu yang mencatatkan di dalam diari mereka detik bersejarah lebih kurang sembilan bulan kehamilan.

Namun zaman Internet memberikan pilihan yang lebih menarik. Kini diari peribadi anda boleh dihasilkan melalui teknologi blog. Blog berasal dari frasa “web log” atau log web (sesawang).

Dengan teknologi blog, diari pengalaman hamil anda boleh dibaca oleh hampir sesiapa sahaja dari seluruh dunia. Bukan setakat itu, pelawat laman blog anda boleh berinteraksi atau meninggalkan komen pada apa yang anda tulis (post).

Selain itu, anda berpeluang meninggalkan catatan peribadi berkaitan topik yang dibincangkan. Anda juga boleh berinteraksi atau menghantar emel kepada tuan punya blog untuk mendapat maklumat lanjut.

Jika sedikit masa dahulu, istilah blog jarang-jarang kita dengari. Namun kini, aktiviti memblog (blogging) sudah menjadi fenomena biasa. Buktinya pada masa artikel ini ditulis, penyedia perkhidmatan blog popular, Wordpress (http://www.wordpress.com/) merekodkan 4.9 juta blog yang dihoskannya.

Purata 100 ribu post dihantar setiap hari. Di samping itu, Laman eMarketer (http://www.emarketer.com/) melaporkan bahawa di Amerika Syarikat sahaja 94 juta pengguna Internet melayari blog pada 2007.

Laman Technorati (http://www.technorati.com/) pula pada Februari 2008 mencatatkan jumlah keseluruhan blog di alam siber mencecah 112 juta.

Yang pasti, blog memberikan anda kuasa menghasilkan laman web peribadi dengan pantas dan mudah. Paling penting, ianya percuma! Selain itu, menghasilkan sendiri blog bukanlah sesukar mereka bentuk laman sesawang. Ia sebenarnya cuma melibatkan tiga langkah mudah. Ringkasan langkah ditunjukkan dalam rajah di bawah.




Untuk artikel penuh emel syahruln77@gmail.com
Blog Widget by LinkWithin