The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.

Thursday, October 1, 2009

Belajar dan bergembira di Internet!

Oktober 2009

Teknologi dan aplikasi Internet kini muncul sebagai media yang sangat berkesan terutama bagi tujuan pembelajaran. Buktinya muncul beribu-ribu, malah mungkin mencecah jutaan laman web berkaitan pembelajaran. Namun satu perkara penting yang harus diketahui oleh para ibu bapa ialah konsep pembelajaran bagi kanak-kanak harus diselit dengan unsur keseronokan.

Menurut kajian pakar, pendekatan bermain sambil belajar (edutainment) dapat meningkatkan keupayaan kognitif kanak-kanak. Ia juga mampu membakar semangat ingin tahu dalam diri mereka melalui aktiviti penerokaan dan penemuan. Selain itu ia juga boleh memperkemas kemahiran motor kasar dan halus jari-jemari mereka hasil interaksi dengan tetikus. Selain itu, pendekatan edutainment juga mampu mencetus pemikiran kritis dan kreatif dalam kalangan kanak-kanak.

Arikel kali ini mengupas tiga lagi laman web yang pasti menarik perhatian anak anda. Paling penting dalam keseronokan mereka bermain, tanpa disedari mereka sebenarnya sedang belajar.

ZiggityZoom
www.ziggityzoom.com

Laman ZiggityZoom mengambil seekor arnab bernama BunBun sebagai maskotnya. Laman ini mudah dilayari melalui susunan menunya yang jelas. Lima menu utamanya terdiri daripada permainan, mewarna, bercerita, dunia hiburan dan aktiviti. Selain permainan, ia juga menyediakan permainan yang boleh dicetak.

Selain itu, buku cerita interaktif yang disediakan di laman ini disediakan dengan fungsi penyelak halaman. Dengan itu anak anda akan merasakan bahawa mereka benar-benar sedang membaca buku sebenar. Walaupun lakaran kartunnya agak mudah dan kurang kompleks, namun jalan ceritanya telah digarap dengan kemas.

Selain itu, halaman buku ceritanya tidak sesak dengan teks. Pilihan fon juga menarik dan mudah dibaca. Antara tajuk cerita yang pasti menarik perhatian anak anda adalah seperti Easter Egg Book, Beakley Swims, Beakley Takes a Trip, My Little Pirate, Princess Little, dan Goodie Twoshoes-Being a Kind Person.

Di samping itu, fungsi kawalan audio juga disedikan. Ini bermakna anak anda boleh memilih sama ada untuk membaca buku sambil mendengar teksnya dibacakan atau sebaliknya. Laman ini juga padat dengan aktiviti- aktiviti dalam talian yang pasti menggembirakan anak anda. Sebab itu memang tepat laman ini menggunakan motto “A fun place to zoom around.”



















SproutOnline
www.sproutonline.com/sprout/games/

Laman Sprout Online asalnya merupakan siaran TV kanak-kanak 24 jam yang pertama kali muncul, hasil inisiatif Public Broadcasting Service (PBS) Kids. Kini ia muncul di Internet khas untuk kanak-kanak berumur 2-5 tahun. Selain permainan, laman ini turut menyediakan pilihan aktiviti dalam talian yang sangat banyak untuk anak anda.

Sebagai contoh, ruangan permainan pada laman ini menyediakan permainan interaktif yang sangat pelbagai. Ia dikategorikan kepada kreativiti, kemahiran motor halus, pembacaan dan penceritaan, kemahiran daya ingatan, penyelesaian masalah dan teka-teki serta sisih dan padankan. Saya meminati permainan ejaan yang membenarkan anak saya mengklik pada huruf-huruf yang membentuk perkataan tertentu. Permainan ini bernama Spelling with Caillou.

Di samping itu, pilihan permainan juga disusun berdasarkan watak kartun. Antara watak di TV yang terkenal adalah seperti Thomas & Friends, Fifi and the Flowertots, Bob the Builder, Kipper, Make Way for Noddy, Play With Me Sesame,Barney & Friends, serta Roary the Racing Car. Selain itu, pada setiap minggu satu permainan akan dipilih sebagai permaian terbaik.

















FunBrain.com
www.funbrain.com

Laman ini menawarkan permainan berunsurkan pembelajaran yang menarik dan berkualiti. Buktinya ialah sejak ia wujud lebih 50 anugerah telah dimenanginya. Ini termasuk anugerah Digital Dozen yang diterima daripada Eisenhower National Clearinghouse for Mathematics and Science Education.

Pada laman ini, anak anda boleh mempelajari subjek matematik selain membaca dan mempertingkatkan kemahiran tatabahasa. Antara permainan popular ialah seperti Math Baseball, Number Cracker, Spell Check, Connect the Dots, Guess the color dan banyak lagi. Selain itu, antara permaian klasik Fun Brain adalah seperti Math Baseball, The Plural Girls, Proton Don, Grammar Gorillas dan Math Car Racing.

Selain hanya bermain, fugsi interaktiviti juga disediakan dimana anak anda turut boleh bersembang (chat). Tidak ketinggalan, maklumat yang disediakan di sini amat berguna untuk para guru bagi dijadikan alat bantu mengajar. Bagi mengekalkan kualiti kandungan pembelajaran, bagi setiap permainan, temanya sentiasa tertumpu pada konsep nombor dan perkataan sebagai fokus utama.

Di samping itu, laman ini memuatkan lebih kurang 40 permainan yang pasti mengasyikkan anak anda. Watak kartun juga digunakan untuk mendampingi anak anda sepanjang mereka belajar. Permainan yang dihasilkan dengan perisian Flash juga pantas dimuat turun tanpa memerlukan anda memasang (install) perisian yang lain.

Paling penting, FunBrain.com menyediakan anda dan anak anda bahan pembelajaran yang menyeronokkan secara percuma. Bukan itu sahaja, anda juga tidak “dipaksa” untuk mendaftar terlebih dahulu sebelum boleh menggunakan laman ini.


1 comment:

syahrulnizam said...

http://show-me-the-love.blogspot.com/2009/10/kids-edutainment.html

Blog Widget by LinkWithin