The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.

Wednesday, October 28, 2009

Risiko permainan online

Oleh Syahrul Nizam Junaini
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaysia Sarawak

Perkembangan teknologi Internet cukup pantas. Jika dahulunya kita dihidangkan dengan laman web statik yang membosankan, kini muncul laman interaktif dan menarik seperti MSN MySpace dan Twitter. Selain itu laman seperti Facebook semakin popular terutama dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

Mungkin sebelum ini, anda antara kita yang dimanipulasi oleh anak-anak bagi membelikan mereka CD atau DVD permainan komputer atau Playstation. Permainan yang kita belikan mungkin yang tidak sesuai dengan umur mereka dari segi kandungannya. Sebagai ibu bapa kadang-kadang kita terlepas pandang perkara ini. Masalah permainan komputer bertambah parah apabila wujud permainan percuma di Internet. Ia tidak perlu dibeli sebagaimana CD atau DVD.

Serentak dengan kepesatan perkembangan teknologi, wujud juga permainan dalam talian yang mungkin berisiko tetutama bagi kanak-kanak. Kajian oleh The ChildWise Monitor Report pada tahun 2008 menunjukkan bahawa permainan video adalah antara aktiviti dalam talian paling digemari kanak-kanak. Buktinya 47 peratus daripada responden kajian dari kalangan kanak-kanak lelaki berusia 7-10 menggunakan Internet untuk bermain permainan video.

Malah bagi kanak-kanak kecil, Internet adalah permainain, dan permainan adalah Internet.
Permainan percuma ini sekali imbas seolah-olah direka untuk anak-anak. Ia menggunakan watak beranimasi yang menarik dengan lukisan dan warna yang ceria.

Namun disebalik itu, terdapat satu permainan berasaskan Flash yang misinya adalah untuk menangkap foto watak perempuan seksi. Watak ini agak bergerak-gerak pada senario tertentu dalam aksi yang boleh mendatangkan rasa ghairah.

Apa yang pemain perlu lakukan ialah menangkap gambar yang paling seksi. Lebih seksi gambar yang ditangkap, maka lebih tinggi markah yang diperolehi. Perkara yang mengejutkan ialah berdasarkan maklumat sumber, ia telah dimainkan lebih dari 6.5 juta kali sejak dilancarkan pada bulan Mac 2008. Rajah di bawah menunjukkan paparan permainan tersebut.



















Pada permainan dalam talian seperti ini, kanak-kanak sudah tentu suka melihat watak beranimasi yang dilukis dengan cukup kemas. Mereka pasti berminat mencuba permainan ini terutama selepas melihat montaj pembukaannya.Namun bolehkan mereka membezakan baik buruk permainan ini? Selain itu, tiada sekatan yang meminta pengguna memasukkan data berkaitan umur sebelum boleh bermain permainan ini. Selain unsur lucah, kanak-kanak juga terdedah risiko penggunaan bahasa kasar atau kesat, komentar bersifat rasis, atau gangguan lain jika ada fungsi chat pada permainan tersebut. Mereka boleh bersembang dengan hampir sesiapa sahaja dari seluruh dunia sambil menunggu giliran, seperti pada permainan Yahoo Pool. Selain itu, walaupun pada permainan tertentu yang diklasifikasikan sebagai bersih, terselit juga kandungan yang bersifat komersial. Kesannya jutaan kanak-kanak di seluruh dunia menghadapi risiko pengaruh negatif permainan dalam talian jika tiada usaha tegas dilaksanakan. Sebab itu beberapa negara melarang sepenuhnya kandungan dalam talian khas untuk orang dewasa bagi diakses oleh semua peringkat umur. Sementara itu di Amerika Syarikat, ada antara perpustakaan sekolah menerima dana persekutuan bagi usaha menyekat akses kepada kandungan yang tidak sesuai. Di United Kingdom pula, satu badan yang dipanggil Majlis Keselamatan Internet bagi Kanak-kanak (UKCCIS) telah ditubuhkan. Ia bermatlamat mewujudkan kerjasama segenap organisasi daripada industri dan NGO untuk bekerjasama dengan kerajaan. Ini bagi memastikan Internet adalah tempat yang selamat bagi kanak-kanak. Salah satu usaha UKCCIS adalah mewujuskan sistem klasifikasi permainan komputer. Klasifikasi ini bagi membolehkan ibu bapa atau penjaga menyemak kesesuaian satu-satu permainan bagi kumpulan usia anak mereka. Dari segi teknikal, anda boleh setkan polisi tatacara keselamatan bagi jenis laman yang boleh atau tidak boleh dilayari oleh anak anda. Tetapi melalui enjin carian seperti Google dan Yahoo, bagi anak anda yang sudah boleh membaca, mereka mungkin akan menaip kata kunci carian seperti “games” dan sebagainya. Mereka juga masih tetap berisiko. Paparan iklan permainan yang ditunjukkan mungkin membawa mereka ke laman permainan yang direka khas bagi orang dewasa. Selain itu, selepas anak anda menggunakan enjin carian ini, anda boleh menyemak semula laman-laman yang telah mereka layari dengan melihat history pada pelayar web anda. Anda juga boleh melihat kata kunci yang “terlekat” pada kotak carian. Sebagai penutup, adakah anda terfikir untuk memasang Internet bagi kegunaan anak anda di rumah? Fikirkan dua kali. Dengan Internet, anda telah membuka pintu rumah anda ke dunia luar. Adakah anda cukup berani membiarkan anak yang berusia tujuh tahun berjalan ke kedai sebelum mengajar mereka bagaimana melintas jalan?

Thursday, October 1, 2009

Belajar dan bergembira di Internet!

Oktober 2009

Teknologi dan aplikasi Internet kini muncul sebagai media yang sangat berkesan terutama bagi tujuan pembelajaran. Buktinya muncul beribu-ribu, malah mungkin mencecah jutaan laman web berkaitan pembelajaran. Namun satu perkara penting yang harus diketahui oleh para ibu bapa ialah konsep pembelajaran bagi kanak-kanak harus diselit dengan unsur keseronokan.

Menurut kajian pakar, pendekatan bermain sambil belajar (edutainment) dapat meningkatkan keupayaan kognitif kanak-kanak. Ia juga mampu membakar semangat ingin tahu dalam diri mereka melalui aktiviti penerokaan dan penemuan. Selain itu ia juga boleh memperkemas kemahiran motor kasar dan halus jari-jemari mereka hasil interaksi dengan tetikus. Selain itu, pendekatan edutainment juga mampu mencetus pemikiran kritis dan kreatif dalam kalangan kanak-kanak.

Arikel kali ini mengupas tiga lagi laman web yang pasti menarik perhatian anak anda. Paling penting dalam keseronokan mereka bermain, tanpa disedari mereka sebenarnya sedang belajar.

ZiggityZoom
www.ziggityzoom.com

Laman ZiggityZoom mengambil seekor arnab bernama BunBun sebagai maskotnya. Laman ini mudah dilayari melalui susunan menunya yang jelas. Lima menu utamanya terdiri daripada permainan, mewarna, bercerita, dunia hiburan dan aktiviti. Selain permainan, ia juga menyediakan permainan yang boleh dicetak.

Selain itu, buku cerita interaktif yang disediakan di laman ini disediakan dengan fungsi penyelak halaman. Dengan itu anak anda akan merasakan bahawa mereka benar-benar sedang membaca buku sebenar. Walaupun lakaran kartunnya agak mudah dan kurang kompleks, namun jalan ceritanya telah digarap dengan kemas.

Selain itu, halaman buku ceritanya tidak sesak dengan teks. Pilihan fon juga menarik dan mudah dibaca. Antara tajuk cerita yang pasti menarik perhatian anak anda adalah seperti Easter Egg Book, Beakley Swims, Beakley Takes a Trip, My Little Pirate, Princess Little, dan Goodie Twoshoes-Being a Kind Person.

Di samping itu, fungsi kawalan audio juga disedikan. Ini bermakna anak anda boleh memilih sama ada untuk membaca buku sambil mendengar teksnya dibacakan atau sebaliknya. Laman ini juga padat dengan aktiviti- aktiviti dalam talian yang pasti menggembirakan anak anda. Sebab itu memang tepat laman ini menggunakan motto “A fun place to zoom around.”



















SproutOnline
www.sproutonline.com/sprout/games/

Laman Sprout Online asalnya merupakan siaran TV kanak-kanak 24 jam yang pertama kali muncul, hasil inisiatif Public Broadcasting Service (PBS) Kids. Kini ia muncul di Internet khas untuk kanak-kanak berumur 2-5 tahun. Selain permainan, laman ini turut menyediakan pilihan aktiviti dalam talian yang sangat banyak untuk anak anda.

Sebagai contoh, ruangan permainan pada laman ini menyediakan permainan interaktif yang sangat pelbagai. Ia dikategorikan kepada kreativiti, kemahiran motor halus, pembacaan dan penceritaan, kemahiran daya ingatan, penyelesaian masalah dan teka-teki serta sisih dan padankan. Saya meminati permainan ejaan yang membenarkan anak saya mengklik pada huruf-huruf yang membentuk perkataan tertentu. Permainan ini bernama Spelling with Caillou.

Di samping itu, pilihan permainan juga disusun berdasarkan watak kartun. Antara watak di TV yang terkenal adalah seperti Thomas & Friends, Fifi and the Flowertots, Bob the Builder, Kipper, Make Way for Noddy, Play With Me Sesame,Barney & Friends, serta Roary the Racing Car. Selain itu, pada setiap minggu satu permainan akan dipilih sebagai permaian terbaik.

















FunBrain.com
www.funbrain.com

Laman ini menawarkan permainan berunsurkan pembelajaran yang menarik dan berkualiti. Buktinya ialah sejak ia wujud lebih 50 anugerah telah dimenanginya. Ini termasuk anugerah Digital Dozen yang diterima daripada Eisenhower National Clearinghouse for Mathematics and Science Education.

Pada laman ini, anak anda boleh mempelajari subjek matematik selain membaca dan mempertingkatkan kemahiran tatabahasa. Antara permainan popular ialah seperti Math Baseball, Number Cracker, Spell Check, Connect the Dots, Guess the color dan banyak lagi. Selain itu, antara permaian klasik Fun Brain adalah seperti Math Baseball, The Plural Girls, Proton Don, Grammar Gorillas dan Math Car Racing.

Selain hanya bermain, fugsi interaktiviti juga disediakan dimana anak anda turut boleh bersembang (chat). Tidak ketinggalan, maklumat yang disediakan di sini amat berguna untuk para guru bagi dijadikan alat bantu mengajar. Bagi mengekalkan kualiti kandungan pembelajaran, bagi setiap permainan, temanya sentiasa tertumpu pada konsep nombor dan perkataan sebagai fokus utama.

Di samping itu, laman ini memuatkan lebih kurang 40 permainan yang pasti mengasyikkan anak anda. Watak kartun juga digunakan untuk mendampingi anak anda sepanjang mereka belajar. Permainan yang dihasilkan dengan perisian Flash juga pantas dimuat turun tanpa memerlukan anda memasang (install) perisian yang lain.

Paling penting, FunBrain.com menyediakan anda dan anak anda bahan pembelajaran yang menyeronokkan secara percuma. Bukan itu sahaja, anda juga tidak “dipaksa” untuk mendaftar terlebih dahulu sebelum boleh menggunakan laman ini.


Blog Widget by LinkWithin