The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.

Saturday, April 25, 2009

Selami isu penyusuan bayi secara online

Tn Hj Syahrul Nizam Junaini
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Malaysia Sarawak

Adakah anda baru sahaja menimang anak sulung? Sebagai ibu, sudah tentu isu utama yang anda risau ialah dari segi penyusuan bayi anda. Sudah tentu anda tercari-cari sumber bagi mendapat maklumat tentang perkara penting ini. Adakah anda mampu menyusukannya? Ingin pelajari teknik penyusuan terbaik bagi permata hati anda?

Kini jangan risau. Terdapat banyak laman web yang menyediakan maklumat berguna bagi membantu anda.

Artikel bulan ini mengupas tiga laman sesawang (web) yang boleh anda layari. Saya akan bincangkan satu laman web dari luar negara dan dua dari dalam. Kesemuanya padat dengan panduan praktikal yang akan menambah keyakinan anda menyusukan bayi.

























breastfeeding.com



Laman pertama yang ingin saya ketengahkan ialah breastfeeding.com. Laman yang diusahakan pada 1998 ini kini muncul sebagai antara laman rujukan sehenti bagi para ibu dari seluruh dunia.

Laman ini berjaya menyatukan para ibu dengan pakar laktasi dan perubatan kanak-kanak secara maya. Para ibu bebas mengajukan soalan berkaitan penyusuan dan laktasi. Kemudian soalan mereka akan dijawab oleh doktor dan pakar berwibawa yang akan membimbing anda.


Susuibu.com


Laman kedua ialah Susuibu.com. Laman yang berpangkalan di Bandar Baru Bangi, Selangor ini merupakan sebuah portal khas untuk anda. Ia didedikasi bagi membimbing anda melalui perkongsian maklumat mengenai penyusuan susu ibu.

Laman ini menggunakan “Tiada yang lebih baik darinya...” sebagai tagline atau tema. SusuIbu.com diselenggarakan beberapa ibu yang berpengalaman menyusukan bayi mereka. Mereka berhasrat berkongsi maklumat dengan masyarakat ibu di Malaysia secara maya. Mereka yang bertugas dari rumah ini telah menggunakan teknologi internet dengan sebaiknya sebagai pengantara untuk bertemu pengunjung web.


susuanibu-pk.gov.my


Laman ketiga ialah laman kelolaan Persatuan Penasihat dan Pakar Laktasi Malaysia (PPPLM). Persoalan tentang penyusuan susu ibu telah dikumpulkan oleh PPPLM berdasarkan soalan-soalan popular yang sering diajukan oleh para ibu.

Benarkah menyusu bayi akan menjejaskan bentuk payudara? Bagaimana cara meletakkan bayi pada payudara? Berapa lama anda harus menyusu pada sebelah payu dara? Kenapa susu anda kelihatan cair? Bagaimana jika bayi anda mengalami sakit tumbuh gigi dan enggan menyusu? Kesemua persoalan ini akan terjawab di laman tersebut.

Sunday, March 8, 2009

Free Draw dari NickJR.com serlah kreativiti kanak-kanak

Pa&Ma, Mac 2009.










































































Kereta dan Pokok Bunga I
Hasil kerja Nur A'isyah Nadheerah Syahrul, 5 tahun.


Kereta dan pokok bunga II.


Pokok bunga dan Zirafah.

Bas

Dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), isu kreativiti mula menarik perhatian ibu bapa. Beribu-ribu laman web khas untuk kanak-kanak kini muncul umpama cendawan selepas hujan. Namun masih ramai ibu-bapa tercari-cari laman yang sesuai bagi memperkembang bakat melukis anak mereka.

Sehubungan itu, laman sesawang (web) NickJR.com telah memperkenalkan Free Draw. Ia merupakan permainan melukis interaktif yang membolehkan si kecil menyerlah kreativitinya. Jika anak sudah boleh menggerakkan tetikus (mouse), perkenalkan Free Draw kepadanya.

Daripada segi perkembangan kognitif kanak-kanak, Free Draw merupakan satu kaedah bagi anak anda meluahkan perkara yang ada di minda mereka. Melalui imaginasi dan percubaan (experimentation), mereka bebas melakar, mengecat dan membentuk objek dalam dua dimensi. Pilihan warna yang pelbagai menambah lagi keceriaan perisian atas talian ini.

Menurut laman web NickJr.com, Free Draw mampu memperkukuh kemahiran visual dan ruang (visual-spatial) kanak-kanak.Umur kanak-kanak yang disarankan untuk perisian ini adalah sekitar tiga hingga enam tahun.

Dalam pada itu, FreeDraw adalah siri pertama dari permainan bertemakan “Pusat Kreativiti” di NickJr.com. Ia mendedahkan kanak-kanak tentang penggunaan perisian melukis yang mudah.

Walaupun mudah, namun fungsi melukis pada perian ini boleh mencabar perisian grafik untuk orang dewasa seperti Adobe Photoshop. Namun saya sarankan anda agar membantu menggerakkan tangan dan tetikus bagi membimbing anak anda pada sesi-sesi awal penggunaannya.

Selepas skrin pengenalan, satu lagi skrin arahan disediakan sebagai pembimbing atau tutorial. Ia perlu bagi memudahkan kanak-kanak menggunakannya. Tayangan animasi digunakan bagi menujukkan cara membuat pilihan menu seperti alat melukis dan mengecat. Kemudian anak anda akan ditunjukkan bagaimana memilih warna yang mereka gemari. Arahan dalam skrin ini turut disertakan dalam bentuk audio suara latar.

Bagaimanapun, untuk anak anda yang sudah berkali-kali menggunakan perisian ini, mereka boleh sahaja klik pada butang “Skip.” Ini bermakna mereka tidak perlu lagi membuang masa mempelajari semula tutorial bagi perkara yang sudah diketahui.

Fungsi utama

Peralatan melukis yang disediakan merangkumi krayon, spray can, teks, pen, cat air dan pen penanda (marker). Fungsi lain yang lebih ‘gempak’ kesan artistiknya adalah seperti splatter, goo, springkle dan sparkle. Selain itu 26 pilihan warna diberikan bagi anak anda menceriakan lukisannya. Selain itu, fungsi bantuan (help) turut disediakan bagi menolong anak anda memahami fungsi setiap ikon.

Katakan anak anda ingin memadamkan objek-objek yang dilukis, fungsi pemadam ada disediakan. Namun jika hasil lukisan sudah memenuhi ruang kanvas, sudah tentu penggunaan fungsi getah pemadam sudah tidak seuai. Maka turut disediakan fungsi bagi membersihkan keseluruhan kawasan melukis. Dengan sekali klik (ikon pangkah), kanvas akan bersih serta merta dan sedia untuk digunakan bagi melukis.

Bagaimanapun, sedikit kelemahan yang saya rasai ialah ruang melukis atau kanvas yang desediakan adalah terlalu sempit atau kecil. Perkara ini ditambah lagi dengan saiz berus cat atau mata pena yang terlalu besar. Walaupun saiz mata pena yang terkecil dipilih, namun pada pandangan saya, saiznya masih terlalu besar. Ini menghadkan bilangan objek yang boleh dilukis di atas satu-satu kanvas.

Selain itu, selepas anak anda mengekspresi atau meluahkan idea seninya, ada eloknya hasil seni tersebut disimpan. Anda boleh merakam skrin lukisan dengan menekan butang PrtSc pada kekunci komputer anda. Kemudian buka perisian grafik seperti PhotoShop dan pilih fungsi tampal (paste). Kemudian sunting dan simpan fail ini dalam format GIF.

Sebagai alternatif, jika komputer anda tersambung ke pencetak bewarna, ada baiknya hasil seni ini dicetak. Kemudian anda boleh simpan cetakan ini di dalam bingkai gambar.

Pujian dan galakan

Dengan bantuan ‘suara guru’ kanak-kanak akan dapat memahami apa yang dimaksudkan dengan ikon-ikon yang mungkin tidak pernah mereka jumpai sebelum ini. Walaupun dalam Bahasa Inggeris, anak saya juga mendapat manfaat dari segi perkembangan berbahasa melalui perisian ini.

Apa saya yang anak anda lukis, pujian menggunung akan mereka terima dalam bentuk suara latar. Antaranya adalah seperti “Cool”, “Fantastic!”, “Wow! Good job!”, “That looks great”, “Looks like an artist!”, “Well done!” dan banyak lagi.

Anak bongsu saya, Muhammad Amar Nazeer, 3 tahun saya biarkan bebas bermain dengan warna dan berus cat. Saya pada mulanya hampir tergelak melihat lukisannya yang comot dan hanya menggunakan warna merah dan kuning. Apabila ditanya, dijawabnya: “Amar lukis api!”.

Kakaknya pula, Nur Aisyah Nadheerah, 5 tahun sudah mampu menampilkan hasil seni yang boleh saya banggakan. Tiga keping lukisan di bawah adalah hasil kreativitinya yang diserlahkan melalui Free Draw.

Layari NickJr.Com hari ini dan biarkan anak anda bebas berkarya. Siapa tahu, Free Draw bakal menyerlahkan bakat anak anda seumpama pelukis terkenal dunia seperti Claude Monet atau Pablo Picasso!

Thursday, March 5, 2009

Amar playing online games

Anak saya, 4 tahun.

Thursday, February 19, 2009

Manfaatkan maklumat di Babycenter

Pa&Ma Mac 2009, hal. 134-135.

Hj. Syahrul Nizam Junaini
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Malaysia Sarawak

Semasa isteri saya mengandung anak pertama, kami terjumpa satu laman web (sesawang) berkaitan keibubapaan. Laman Babycentre (babycentre.co.uk) membolehkan saya dan isteri menjejaki perkembangan janin dari minggu ke minggu.

Sejurus pulang dari lawatan pertama ke klinik, saya telah masukkan tarikh jangkaan bersalin melalui fungsi jejak kehamilan yang disediakan di laman ini. Di sepanjang tempoh kehamilan, saya menerima e-mel demi e-mel. Ia berkaitan panduan dan nasihat berguna bagi membantu kami. Maklumlah pada masa itu kami belum lagi mempunyai pengalaman yang cukup sebagai ayah dan ibu.

Kini anak sulung kami sudah berumur 4 tahun. Namun saya masih lagi menerima e-mel dari Babycentre. E-mel yang dihantar menerangkan perkembangan fizikal serta kognitif anak kami. Itu kisah empat tahun lepas.

Kini muncul pula Babycentre versi Malaysia (www.babycenter.com.my). Laman ini ialah ‘anak’ kepada laman asal yang berpangkalan di United Kingdom. Fungsi utama laman ini untuk membantu ibu bapa mendapatkan maklumat tentang kehamilan dan perkembangan bayi.

Selain itu, untuk pengetahuan anda, Babycentre kini sudah wujud dalam pelbagai bahasa. Antaranya adalah Arab, Jerman, Sepanyol dan banyak lagi. Ia juga telah membuka cawangannya di negara-negara seperti Brazil, Kanada, China, India, Mexico, Filipina, Singapura, Sweden dan Switzerland.

Dari segi kandungan, artikel di sini disusun bermula dengan maklumat tentang usaha mengandung. Perbincangan berkisar tentang usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk ibu bapa yang cuba mendapatkan anak. Kategori artikel kedua pula berkaitan proses kehamilan. Kemudian artikel dikelaskan kepada perkara berkaitan bayi dan anak kecil.

Selain itu, maklumat yang terdapat di laman ini disusun berdasarkan kronologi perkembangan bayi. Anda boleh mendapat pengetahuan lanjut tentang bagaimana janin berkembang dari minggu keempat hingga ke-39. Kemudian ketahui bagaimana pantasnya bayi anda membesar dari minggu pertama hingga umurnya mencecah 11 bulan. Seterusnya, perbincangan tentang perkembang anak anda diteruskan sehingga dia mencecah umur tiga tahun.




Senarai ahli panel pakar Pa&Ma




Blog Widget by LinkWithin